KLANG - Tindakan seorang wanita mencuri beg tangan milik pelanggan di sebuah pasar raya di Pandamaran mengundang padah apabila diberkas pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, laporan berkaitan kejadian sebelum itu dibuat mangsa yang juga merupakan wanita berumur 39 tahun.
Beliau berkata, siasatan mendapati dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari pada Rabu, mangsa menyedari beg tangannya didapati telah hilang dipercayai dicuri.
"Semakan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati mangsa meletakkan beg tangan berkenaan di troli ketika membeli barangan di pasar raya berkenaan.
"Suspek seorang wanita kemudiannya dilihat mengambil beg tangan mangsa sebelum beredar dari pasar raya itu," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
"Siasatan dijalankan membawa kepada tangkapan suspek yang merupakan wanita tempatan berumur 37 tahun kira-kira jam 1 pagi pada Khamis.
"Suspek yang diberkas anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan itu ditahan di sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi, turut dirampas pelbagai barangan dipercayai milik mangsa," katanya.
Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
"Kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan telah dituduh di Mahkamah Majistret Klang, Jumaat lalu," katanya.