Tanggung risiko sendiri jika sertai perhimpunan di Putrajaya - Presiden UMNO

Iklan
Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Kuali Cafe@UKM di Bangunan Pusanika UKM, di sini hari ini. Foto Bernama

BANGI - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli parti itu supaya tidak menyertai satu perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di Istana Kehakiman di Putrajaya esok.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mana-mana ahli yang masih mahu menyertai perhimpunan tersebut, perlu menanggung sendiri sebarang risiko yang akan dihadapi.

Iklan
Iklan

"Kalau (ada) individu (yang hadir ke perhimpunan solidariti itu), kita serahkan kepada mereka untuk mengambil risiko (sendiri).

"Dalam hal itu, kita harap tidak ada penganjur-penganjur daripada mana-mana bahagian atau cawangan (UMNO) yang turut terlibat secara rasmi di perhimpunan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kuali Cafe@Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Iklan

Pada 3 Januari, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan parti itu membatalkan satu perhimpunan bagi menyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan di Putrajaya.

Pembatalan itu dibuat selepas Istana Negara memaklumkan permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemukakan sendiri oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Iklan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed menerusi kenyataan hari ini berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang menyertai perhimpunan berkenaan, kerana ia tidak mendapat kebenaran pemilik tanah sekali gus tidak mematuhi syarat-syarat Akta Perhimpunan Aman 2012.

Mahkamah Rayuan menetapkan esok sebagai tarikh pendengaran rayuan bekas perdana menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh Najib bagi mengemukakan keterangan tambahan berhubung Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu mengenai tahanan rumah.

Dalam pada itu, Barisan Nasional (BN) dalam kenyataan menempelak golongan oportunis yang cuba menangguk di air keruh dalam isu Najib.

"Ia langkah tidak bermoral menggunakan kesengsaraan Datuk Seri Mohd Najib yang pernah dihina dan difitnah di pentas propaganda politik mereka sendiri dan kini mereka mahu menggunakan peluang untuk membina momentum bagi mencapai matlamat politik mereka," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan BN berdiri teguh bersama Pengerusinya Ahmad Zahid yang mengemudi gabungan parti itu, dalam menghadapi keadaan semasa demi memelihara prinsip ketaatan kepada institusi Raja, kestabilan negara dan perpaduan rakyat serta keteguhan parti.

Menyepakati semangat bersama dalam BN, parti itu memaklumkan tiada perhimpunan dianjurkan di Istana Kehakiman Putrajaya esok.

"BN akur dengan titah saran Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan bagi mengemukakan proses permohonan rayuan terhadap bekas perdana menteri itu.

"BN tetap konsisten agar proses keadilan dan perundangan terhadap Datuk Seri Mohd Najib dilaksanakan dengan setulusnya," menurut kenyataan itu. - Bernama