ALOR SETAR - Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan hadir ke Himpunan Solidariti Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin.
Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, tindakannya itu adalah untuk mendengar sendiri tentang kewujudan Titah Adendum yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
"Saya nak tengok Adendum itu ada atau tidak sebab kes yang dibawa ke mahkamah esok ialah semakan kehakiman untuk melaksanakan perintah Adendum terbabit.
Menurutnya, beliau juga yakin Yang di-Pertuan Agong tidak bertitah untuk melarang perhimpunan solidariti diadakan.
Ketika ditanya adakah penglibatan Pas dalam himpunan tersebut cuma mahu mengambil kesempatan terhadap isu tersebut, Muhammad Sanusi berkata, arena politik adalah tentang peluang yang terhidang.
"Kalau ikan lalu kita tak sauk rugilah, cuma nak sauk itu ada alat atau tiada. Jangan sampai kita bom ikan itu, sauk elok-elok. Saya rasa dalam dunia terbuka ini tiada apa yang boleh disembunyikan, proses itu berlaku secara betul atau tak betul.
"Sekarang orang nak tengok proses itu lah, nak berselindung atau tak berselindung. Jadi yang dibawa ke mahkamah esok orang nak tengok perkara itu siapa yang berkata benar, siapa yang tidak bercakap benar,” katanya.
Pada Sabtu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu tetap meneruskan himpunan tersebut kerana ia hanya bertujuan mempertahankan kuasa dan prerogatif Institusi Yang di-Pertuan Agong daripada sebarang manipulasi.
Katanya, himpunan itu juga hanya kehadiran secara aman rakyat dalam menyokong semua usaha bekas Perdana Menteri itu mendapatkan keadilan di bawah undang-undang mengikut kuasa dan prerogatif yang sama.