Wajib bayar zakat pendapatan di negeri gaji diperoleh - Mufti Pulau Pinang

Iklan
Mohd Sukki

GEORGE TOWN - Pembayar zakat wajib membayar zakat pendapatan di negeri pendapatan diperoleh dan perlu diserahkan kepada badan berautoriti dalam negeri, namun agihan zakat yang diberikan kepada luar kawasan seperti di Palestin dan sebagainya adalah berbentuk khusus dan berdasarkan maslahah semasa.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, merujuk kepada kenyataannya sebelum ini yang menyatakan bahawa menjadi kewajipan bagi pekerja, peniaga dan usahawan di Pulau Pinang untuk mengeluarkan zakat di Pulau Pinang, terdapat suara-suara mempertikai kenyataan itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ada yang mengaitkan pengeluaran zakat di Palestin yang dilakukan rakyat Malaysia baru-baru ini sebagai suatu alasan untuk menolak kenyataan itu.

"Suka saya tegaskan bahawa kenyataan yang saya keluarkan itu adalah berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 2/2024 yang bersidang pada 10 hingga 12 September 2024 yang memutuskan bahawa peniaga dan usahawan Islam yang menjalankan perniagaan di negeri ini diwajibkan membayar zakat perniagaan kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Iklan

"Begitu juga, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 2/2019 yang telah bersidang pada 17 September 2019 memutuskan bahawa haram memindahkan zakat ke luar negeri Pulau Pinang berdasarkan maslahah semasa kerana ia menafikan hak dan menjejaskan keperluan asnaf," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, terdapat petunjuk hadis daripada Nabi SAW yang menunjukkan bahawa pembayaran zakat mestilah diberikan kepada tempat perolehan pendapatan tersebut.

Iklan

Daripada Ibn Abbas RA, bahawa tatkala Rasulullah SAW mengutuskan Muaz Jabal ke penduduk Yaman, baginda berpesan yang maksudnya: Maka beritahulah mereka bahawa Allah telah menfardukan ke atas mereka sadaqah (zakat wajib) terhadap harta-harta mereka, diambil daripada orang kaya dalam kalangan mereka dan dikembalikan kepada orang fakir dalam kalangan mereka [Sahih al-Bukhari 1395].

"Daripada Abu Juhaifah RA bahawa dia berkata: Telah datang wakil Rasulullah SAW untuk mengutip zakat dalam kalangan kami, maka dia mengambil zakat daripada kalangan kami yang kaya dan membahagikan zakat itu kepada orang miskin dalam kalangan kami [Sunan al-Tirmizi 649]," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan nas itu, secara hukum asalnya adalah wajib membayar zakat pendapatan di negeri perolehan pendapatan masing-masing.

"Dalam konteks memberikan zakat di luar kawasan seperti di Palestin dan sebagainya, maka terdapat beberapa huraian yang perlu difahami.

"Disebutkan di dalam kitab Fatawa al-Zakat wa al-Saqadat: Jika zakat yang dikumpulkan di sesebuah negara melebihi keperluan penduduknya, maka dibenarkan untuk memindahkan zakat itu ke tempat lain secara sepakat, malah hukumnya menjadi wajib.

"Namun, jika masih terdapat keperluan dalam kalangan penduduk negara terbabit, tidak dibenarkan untuk memindahkan zakat ke negara lain.

"Sebaliknya, zakat hendaklah diagihkan kepada penduduk setempat, sebagaimana sabda Rasulullah: Diambil daripada orang kaya mereka dan diberikan kepada orang miskin mereka" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)," katanya.

Katanya, hal ini kerana ia menjaga hak kejiranan dan memberi keutamaan kepada keperluan orang-orang yang tinggal berdekatan. (Rujuk kitab Fatawa al-Zakat wa al-Sadaqat hlmn. 94).

"Zakat boleh dipindahkan ke negara lain selain tempat tinggal pembayar zakat dalam dua keadaan.

"Pertama, jika di negara itu terdapat saudara-mara yang miskin dan layak menerima zakat. Memberikan zakat kepada mereka dianggap sebagai sedekah dan juga menyambung hubungan kekeluargaan (silaturrahim).

"Kedua, jika zakat itu dipindahkan kepada mereka yang lebih memerlukan berbanding penduduk di tempat tinggal pembayar zakat," katanya.

Beliau berkata, selain itu, isu penyaluran zakat ke negeri lain mula berlaku pada zaman Umar al-Khattab ketika musim kemarau di Madinah.

"Mu'az Jabal, gabenor Yaman, menghantar zakat ke Madinah atas alasan keperluan penduduk Yaman cukup, dan penduduk Madinah lebih memerlukan.

"Umar menerima hujah itu dan mengarahkan wilayah lain membantu Madinah.

"Oleh itu, penyaluran zakat ke tempat lain hanya dibenarkan jika penduduk asal negeri sudah berkecukupan, wujud keperluan mendesak di tempat lain dan diatur oleh pemerintah demi maslahah rakyat.

"Dalam amalan semasa di Pulau Pinang, pemberian zakat ke luar negeri adalah di bawah kendalian Zakat MAINPP dengan kawalan yang ketat terutamanya untuk kawasan ditimpa musibah," katanya.

Mohd Sukki berkata, namun, isu timbul apabila individu menyerahkan zakat tanpa mempertimbangkan keperluan setempat, autoriti, dan penerima yang layak.

"Zakat perlu diserahkan kepada badan berautoriti dalam negeri, dan hanya pihak berautoriti boleh memutuskan jika zakat perlu disalurkan ke luar," katanya.

Beliau berkata, secara kesimpulannya, wajib membayar zakat pendapatan di negeri pendapatan diperoleh namun agihan zakat yang diberikan kepada luar kawasan adalah berbentuk berdasarkan maslahah semasa.