Ketua Pemuda UMNO 'hadir awal' ke Istana Kehakiman Putrajaya

Iklan
Hantaran dimuat naik Dr Muhamad Akmal di Facebook pada Ahad.

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dilihat hadir lebih awal berbanding pemimpin parti lain apabila sempat memuat naik gambar sedang berjoging di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya.

Beliau tetap dengan pendiriannya untuk hadir ke Himpunan Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan bagi menyatakan sokongan terhadap bekas perdana menteri itu di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman esok.

Iklan
Iklan

"Selamat petang Putrajaya," katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau tersebut dilaporkan berkata, kehadirannya adalah bersifat individu dan hanya mahu memberikan sokongan moral kepada Najib berhubung isu Titah Adendum.

Iklan

Namun, pada Jumaat lepas, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan, partinya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan himpunan.

Jelasnya lagi, ia sebagai tanda akur kepada saranan titah Yang di-Pertuan Agong supaya menghormati kuasa prerogatif Baginda untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan dalam perkara dihadapi bekas ahli Parlimen Pekan itu.

Iklan

Dr Muhamad Akmal berpandangan, sebagai ahli UMNO, beliau menjunjung tinggi titah Baginda dan menghormati keputusan parti untuk tidak menyertai himpunan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya lagi, beliau tetap akan hadir ke himpunan tersebut sepertimana pernah dilakukannya di Mahkamah Jalan Duta pada waktu dahulu.