JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus mengembangkan sayap ke Eropah apabila secara serius akan bekerjasama dengan kelab Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).
Kolaborasi tersebut dibuktikan menerusi pertemuan pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail dengan Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi di Qatar pada Sabtu.
Malah baginda yang juga pemangku Sultan Johor turut berpeluang menyaksikan sesi latihan PSG di Stadium 974 di Doha.
Baginda berkata, perbincangan antara pengurusan tertinggi tersebut melibatkan hubungan strategik kedua-dua pasukan.
"Ia mengenai 'partnership' antara kedua-dua kelab tersebut dalam aspek penjenamaan, infrastruktur dan pembangunan akar umbi.
"Baginda juga bertemu dengan para pemain PSG," catat baginda menerusi Facebook pada Ahad.
Tunku Mahkota Ismail turut berkongsi bakal menyaksikan perlawanan menarik yang menemukan PSG dengan AS Monaco pada malam Ahad.
"Turut dijemput untuk menghadiri perlawanan Trophee des Champions PSG menentang AS Monaco di Doha malam ini (Ahad)," catat baginda.
Sebagai rekod JDT yang mendominasi Liga Super buat kali ke-10 ketika ini mengungguli carta dengan 46 mata, manakala PSG turut unggul di takhta Ligue 1 dengan kelebihan 10 mata berbanding pencabar terdekat, Marseille.