IPOH - [DIKEMAS KINI] Sekurang-kurangnya 10 kediaman penduduk di Jalan Salak Kampung Sungai Rokam di sini dinaiki air mencecah lebih 0.5 meter akibat banjir kilat yang melanda pada Ahad.
Kejadian sekitar jam 5 petang itu berlaku akibat hujan lebat dan berterusan selama satu jam mengakibatkan limpahan air dari sungai berhampiran.
Penduduk, Wiween Feroza Mohd Wazir, 40, berkata, semasa kejadian, dia bersama enam ahli keluarganya tidak berada di rumah.
Katanya, keadaan itu mengakibatkan barangan dan perkakas elektrik termasuk peti ais dan mesin basuh yang berada di tingkat bawah rumah tidak sempat diselamatkan.
"Apabila jiran telefon maklumkan kejadian, saya terus minta bantuannya alihkan tiga kenderaan ke tempat lebih selamat dan mujurlah sempat.
"Tadi bila saya sampai rumah, paras air masih tinggi, tetapi sudah tunjuk tanda mulai surut," katanya ketika ditemui pemberita.
Seorang lagi penduduk, Idris Abdul Rahim, 70, berkata, banjir kilat kerap berlaku di kawasan itu dan penduduk sendiri sudah lali dengan isu demikian yang disifatkan masih gagal ditangani.
"Dah 60 tahun saya tinggal di sini, memang macam inilah keadaannya kalau hujan lebat. Kalau tak silap saya, 18 tahun dahulu, air naik sampai paras leher.
"Rumah saya pun banyak barang yang sudah rosak. Harap pihak berwajib dapat cari solusi terbaik supaya kejadian banjir kilat ini tidak akan berulang dan lebih buruk,” katanya yang tinggal bersama isteri dan dua anak.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, banjir kilat turut dilaporkan berlaku di Taman Cempaka di sini.
Katanya, panggilan kejadian itu diterima jam 5.41 petang, namun tidak melibatkan mangsa.
"Operasi pemantauan sedang dijalankan di kawasan tersebut dan berhampiran sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.