KUALA LUMPUR - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesahkan label notis pemotongan bekalan air yang tular di laman sosial, diguna pakai oleh pihaknya.
Syarikat itu menerusi hantaran yang dimuat naik di laman X sebentar tadi memaklumkan, label notis itu digunakan untuk pelanggan mempunyai tunggakan bil.
"Bagi pelanggan tidak mempunyai tunggakan bil tetapi turut menerima label notis tersebut, sila hubungi kami di talian 15300 atau ajukan pertanyaan di Help Centre yang boleh didapati menerusi www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," ujarnya di platfom media sosial itu pada Ahad malam.
Difahamkan isu berkaitan label merah dan imbas kod QR ini pernah tular sebelum ini.
Pada Julai lalu ia tular di laman sosial apabila ada pengguna mendakwa bekalan air terhenti secara tiba-tiba.
Berikutan itu, individu terbabit kemudiannya dilaporkan keluar untuk memeriksa dan ternampak tanda merah terbabit.
Dakwaan itu turut memaklumkan imbas kod QR itu membawa kepada laman web yang pada pandangan pertama kelihatan seperti laman web Air Selangor tetapi sebaliknya.
Terbaharu, ada pengguna laman sosial mendakwa kod QR yang disertakan boleh menyebabkan mangsa terbabit kehilangan wang dari akaun bank dan kad Touch 'n Go.