VIETNAM melaungkan amaran sudah bersedia membuka Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 apabila muncul juara Piala ASEAN selepas menewaskan penyandang juara Thailand dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Ahad.
Sebagai rekod, Vietnam (ranking 114 dunia) diundi dalam Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 bersama Malaysia (132), Nepal (175) dan Laos (186) dengan lawan pertama menentang Laos (25 Mac), Malaysia (10 Jun) dan Nepal (9 Oktober) untuk pusingan pertama.
Naga Emas kendalian Kim Sang-sik, 48, mengesahkan kejuaraan selepas menewaskan Gajah Perang bimbingan, Masatada Ishii, 57, menerusi agregat 5-3 setelah menang 3-2 dalam aksi timbal balik kedua.
Angkatan Sang-sik tampil ke bumi Bangkok dengan berbekalkan kemenangan tipis 2-1 ke atas anak buah Ishii dalam perlawanan akhir pertama yang berlangsung di Stadium Viet Tri, Wilayah Phu Tho, 2 Januari lalu.
Vietnam terlebih dulu memimpin perlawanan menerusi jaringan Pham Tuan Hai, 26, (m-8), sebelum Ben Davis,24,menyamakan kedudukan minit ke-28 untuk kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan 1-1.
Separuh masa kedua Thailand meningkatkan tekanan dengan mengasak bahagian pertahanan Vietnam, yang akhir bolos hasil ledakan Supachok Sarachat, 26 pada minit ke-64 untuk memimpin permainan.
Bagaimanapun Thailand terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Weerathep Pomphan, 28 diarah meninggalkan padang selepas dilayangkan kad kuning kedua minit ke-74 selepas menerima kad sama minit ke-13 separuh masa pertama.
Kekurangan itu dimanfaatkan anak buah Sang-sik bagi menekan jentera pertahanan Thailand yang berstatus juara tujuh kali dengan dua lagi gol dijelmakan jaringan sendiri pemain pertahanan tuan rumah Pansa Hemviboon, 34, sebelum pemain gantian Nguyen Hai Long, 24, menoktahkan kemenangan dengan gol minit ke-110.