Buaya pun dah tak selamat di jalan raya!

Iklan
Bangkai buaya yang ditemui mati di lebuh raya di Jalan Penanjong di Tutong, Brunei. - Agensi

BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan berita yang tular di media sosial bagaimana seekor buaya besar telah mati akibat dilanggar sebuah kenderaan di lebuh raya.

Beberapa gambar yang tular di Facebook menunjukkan bangkai buaya itu terbaring di atas jalan.

Iklan
Iklan

Penulis pada mulanya menyangka kejadian tragis itu berlaku di Malaysia bagaimanapun setelah membaca berita di Sinar Harian, kemalangan ini sebenarnya berlaku di lebuh raya berhampiran Jalan Penanjong di Tutong, Brunei.

Insiden jarang berlaku itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial dengan kebanyakan mereka bersimpati namun ada juga yang mempersoalkan bagaimana pemandu boleh tidak menyedari kehadiran buaya berkenaan.

Iklan

Sebenarnya, kemalangan antara kenderaan dan haiwan bukanlah perkara baharu di negara kita. Boleh dikatakan hampir setiap bulan kita ‘dihidangkan’ dengan berita kemalangan melibatkan haiwan liar dan juga ternakan yang menjadi korban di jalan raya.

Sebelum ini, dalam kejadian pada 6 November tahun lalu, seekor beruang matahari jantan seberat 60 kilogram mati selepas dirempuh kenderaan di Kilometer 406, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Terengganu.

Iklan

Dua hari sebelum itu, tular video seekor beruang berguling kesakitan di atas jalan dipercayai selepas dilanggar dalam kejadian di Kilometer 422, LPT2 arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

Itu belum lagi kemalangan melibatkan haiwan lain yang kerap menjadi mangsa kenderaan seperti tapir, gajah, kucing, anjing, lembu, kerbau, monyet dan banyak lagi.

Peningkatan bilangan kematian di jalan raya yang membimbangkan ini turut melibatkan haiwan yang diancam kepupusan.

Pada 12 November tahun lalu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad pernah memaklumkan sebanyak enam ekor Harimau Malaya mati dilanggar kenderaan sejak tahun 2023.

Namun apa yang lebih tragis, dalam kejadian pada 9 November tahun lalu, seekor harimau belang mati akibat dilanggar lori di Kilometer 67.1 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Titiwangsa, Gerik apabila beberapa bahagian Harimau Malaya berkenaan termasuk taring, kuku dan kulit telah hilang dan disyaki dicuri.

Tindakan ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]. Akta 716 telah dipinda pada 2022, bagi meningkatkan kadar hukuman dan penalti melibatkan kesalahan berkaitan hidupan liar.

Hidupan liar dilindungi sepenuhnya seperti Harimau Malaya atau mana-mana bahagian atau terbitannya seperti gigi, tulang, kulit, lemak atau darah apabila disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang dari RM150,000 bagi setiap hidupan liar atau bahagian atau terbitan hidupan liar itu dan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun.

Hilang habitat

Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), pembinaan jalan raya melalui habitat hidupan liar menyebabkan pemecahan hutan, membawa kepada kehilangan habitat dan perubahan dalam spesies yang banyak. Ini mengakibatkan peningkatan kadar kematian akibat perlanggaran dengan kenderaan.

Walaupun terdapat pelaksanaan banyak lintasan hidupan liar merentasi pelbagai negeri untuk mengurangkan kesan jalan raya dan lebuh raya terhadap penghijrahan haiwan, kejadian kemalangan jalan raya libatkan haiwan masih berterusan.

CAP turut menggesa kerajaan memastikan laluan selamat di jalan raya bagi hidupan liar melalui pelbagai langkah seperti pelaksanaan zon pengurangan kelajuan di kawasan yang mempunyai aktiviti hidupan liar yang tinggi dan penggunaan pemantul cahaya hidupan liar dan menjalankan lebih banyak kajian ekologi jalan untuk memahami langkah pengurangan yang lebih berkesan supaya mampu untuk melaksanakan pembangunan jalan yang lebih mesra alam sekitar.

Di kala kita semua sibuk memikirkan mengenai kemalangan yang melibatkan kenderaan berat di jalan raya, jangan pula kita lupa nasib haiwan-haiwan yang dilanggar ini.

Janganlah sehingga haiwan terancam di negara ini pupus akibat kemalangan!

*Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah Penyunting Sinar Harian.