[VIDEO] Martabak rusa tarikan baharu di Kampung Temir

Iklan

HULU TERENGGANU - Seorang peniaga mencipta kelainan dengan menjual martabak daging rusa demi menarik minat serta memikat pelancong yang berkunjung ke Kampung Temir di sini.

Lebih menarik pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman menjamu selera di kedai makan berkonsepkan atas pokok sambil menikmati pemandangan tepi sungai serta keindahan alam semula jadi di kawasan tersebut.

Iklan
Iklan
Tun Ahmad menunjukkan martabak daging rusa (kiri) dan nasi goreng daging rusa (kanan) yang sudah siap dimasak.

Tun Ahmad Tun Abdullah, 66, berkata, idea untuk menjual martabak daging rusa itu tercetus sejak tahun lepas kerana mahu menjadikan Kampung Temir sebagai destinasi pilihan pelancong setiap kali mengunjungi Hulu Terengganu.

Tun Ahmad sedang menyediakan martabak daging rusa.

"Saya mahu hidupkan kawasan pelancongan di kampung ini maka saya buat suatu kelainan iaitu menjual martabak daging rusa.

Iklan

"Dengan menggunakan modal sendiri, sebuah kedai makan dua tingkat berkonsepkan tradisional dibina bagi membolehkan pelanggan merasai pengalaman makan seperti di atas pokok sambil menikmati hidangan menarik dan unik seperti martabak daging rusa.

"Kedai makan diberi nama Kota Kampung Temir ini mula beroperasi sejak 1 Januari lalu. Alhamdulillah, kedai makan ini mendapat sambutan ramai sejak hari pertama dibuka dan kebanyakan mereka ingin cuba merasai keenakan martabak daging rusa yang dijual di sini," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.

Antara pelanggan yang datang merasai menu di kedai milik Tun Ahmad.

Iklan

Mengulas lanjut, Tun Ahmad berkata, setiap hari dia menyediakan satu kilogram daging rusa segar untuk dijadikan inti martabak.

"Saya membuat 50 keping martabak daging rusa bermula jam 3 petang dan ia habis terjual sehinggalah kedai makan ini tutup sebelum Maghrib.

"Selain inti daging rusa, bahan yang digunakan untuk menghasilkan martabak ini antaranya telur itik sekali gus menjadikan rasa dan tekstur martabak itu lebih sedap dan istimewa.

"Martabak daging rusa ini dijual pada harga RM20 sekeping berikutan mengambil kira harga daging rusa sedikit mahal di pasaran selain bahan lain yang digunakan menghasilkan martabak ini adalah premium.

Kedai makan diberi nama Kota Kampung Temir ini mula beroperasi sejak 1 Januari lalu.

"Bagaimanapun sekeping martabak itu sebenarnya sudah cukup dimakan untuk dua orang kerana saiznya agak besar dan inti daging yang banyak," jelasnya.

Dalam pada itu, Tun Ahmad menyatakan bekalan daging rusa mencukupi telah diperoleh daripada pembekal daging rusa dalam memenuhi permintaan terhadap martabak tersebut.

"Rakan saya ada membela rusa dan bekalan daging rusa itu diperoleh dari ladang rusa milik rakan. Kita sedia maklum makanan berasaskan daging rusa ini susah dijumpai di mana-mana kedai makan.

"Jadi dengan menjual makanan unik seperti ini dapat menarik orang ramai terutama pengunjung dari luar datang ke Kampung Temir," katanya.

Tun Ahmad menyatakan dia turut menjual nasi goreng rusa sebagai tambahan menu baharu.

Tun Ahmad menunjukkan martabak daging rusa yang sudah siap dimasak.

"Saya ingin mencuba mempelbagaikan makanan berasaskan daging rusa ini. Jadi setiap hari Ahad hingga Selasa, saya menjual nasi goreng daging rusa manakala Khamis hingga Sabtu barulah martabak daging rusa pula dijual.

"Selain martabak daging rusa, saya juga menjual martabak daging lembu dan ayam serta roti canai. Minuman kelapa asli juga turut dijual memandangkan kedai makan ini berkonsepkan tradisional dan santai.

"Jadi orang ramai boleh rasai pengalaman makan di atas pokok serta makan di ruangan bawah sambil menghirup udara segar serta menikmati pemandangan indah alam semula jadi terdapat di Kampung Temir," katanya sambil menambah operasi kedai makan ditutup hanya pada Rabu.