Keputusan kes Najib hari ini, khabar gembira atau duka?

Iklan
Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman, Putrajaya bakal menjadi tumpuan ramai hari ini. Gambar hiasan

MAHKAMAH Rayuan menjadi tumpuan ramai pada hari ini bagi mendengar rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.

Ia berdasarkan dakwaan wujudnya Titah Adendum yang menyokong permohonan tersebut, dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Iklan
Iklan

Najib juga perlu mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum pada hari ini.

Bukan itu sahaja, dalam masa sama berlangsungnya himpunan Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan di pekarangan Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman Putrajaya yang dihadiri masyarakat daripada pelbagai latar belakang, parti, agama dan kaum.

Iklan

Sebelum ini, Istana Negara mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang ditetapkan, termasuk kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong berkaitan pengampunan kepada mana-mana banduan.

Jika mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya banduan diberi pengampunan atau pengurangan hukuman, permohonan perlu dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Iklan

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk menyemak kembali saranan yang dibuat berhubung kehadiran aman ahli-ahlinya ke perhimpunan berkenaan.

Menurutnya, ia sama sekali tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah Yang di-pertuan Agong, mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses Lembaga Pengampunan.

Bagaimanapun, jelasnya lagi, Pas mengambil maklum dan menjunjung tinggi titah Istana Negara berhubung kenyataan dikeluarkan Istana Negara, malah akur dengan segala tatacara diperuntukkan.

Terbaharu, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden sempat mengemukakan sebab mengapa perlu menghadiri himpunan berkenaan antaranya tidak lain dan tidak bukan sebagai bukti sokongan kepada Najib, hak berhimpun dijamin Perlembagaan Persekutuan serta tanda menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Berbeza pula UMNO yang menyatakan pendirian tidak akan berbuat demikian, melainkan ketua pemudanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bersetuju untuk hadir secara individu tanpa mewakili parti bagi menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada 'Bossku'.

Namun, apakah Najib bakal memperoleh khabar gembira berhubung rayuan permohonannya atau ia berubah menjadi episod duka sekali lagi sepertimana berlaku di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur?

Difahamkan, polis sudah mula bersiap siaga tentang himpunan solidariti berkenaan dan semua peserta juga diingatkan untuk tidak menyertai acara terbabit.

Apa pun, adakah suasana di pekarangan mahkamah akan bertukar gamat dan bingit dengan sokongan orang ramai ditambah pula sebarang kemungkinan keputusan sama ada positif atau sebaliknya? Sama-sama kita nantikan.