RUBEN Amorim meluahkan perasaan marah dan kecewa dengan prestasi dipamerkan Manchester United ketika meraih keputusan seri 2-2 menentang Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Anfield.
Amarah dan terkilan pengendali The Red Devils itu apabila pemain-pemainnya tidak menunjukkan semangat juang yang sama dalam perlawanan lain selepas membawa keluar satu mata dari Merseyside.
Liverpool bangkit selepas Lisandro Martinez (m-52') membuka jaringan buat Manchester United, dengan Cody Gakpo (m-59') diikuti penalti Mohamed Salah (m-70) sebelum sentuhan minit ke-80 daripada Amad Diallo menyamakan kedudukan.
Perlawanan yang menemukan dua gergasi bola sepak Inggeris itu menampilkan United jauh lebih baik berbanding dalam beberapa minggu kebelakangan ini menyaksikan Amorim kecewa dan meminta pasukannya menggunakan keputusan berdepan Liverpool sebagai platform dalam perlawanan lain.
"Saya menjadi lebih marah melihat persembahan dalam perlawanan ini yang sepatutnya juga dipamerkan dalam perlawanan lain.
"Malah, lebih sukar untuk memahami mengenai beberapa perkara. Dan ini bukan tentang sistem, taktik sebaliknya tentang sesuatu yang lain...
"Saya kecewa hari ini, benar-benar kecewa. Saya gembira dengan persembahan tetapi semua orang hari ini akan mengatakan bahawa pasukan telah melakukan kerja yang baik. Hari ini saya satu-satunya lelaki yang kecewa dengan pasukan tetapi hari ini kami adalah satu pasukan," katanya.
Keputusan seri menyaksikan Liverpool (46 mata) kurang satu perlawanan berada enam mata di belakang pesaing terdekat Arsenal (40 mata) dengan diekori rapat Nottingham Forest ketiga (37 mata) yang akan berdepan Wolverhampton Wanderers.
Jelas bekas pengendali kelab liga Portugal, Sporting Lisbon itu lagi:"Kami mempunyai beberapa perlawanan yang baik sepanjang bulan lalu tetapi kemudian kami jatuh lagi.
"Ia adalah sesuatu yang kita perlu benar-benar konsisten. Kami mengadakan perbincangan ini selepas menang menentang Manchester City, ia adalah sama.
"Saya mahu melihat pasukan saya bermain dengan lebih baik tetapi saya fikir perkara paling penting untuk ditangani hari ini ialah mentaliti dan itu adalah kunci untuk segala-galanya.
"Kami menghadapi persaingan dengan cara yang sepatutnya kami hadapi setiap hari. Latihan dan perlawanan, ia tidak sepadan dengan tempat, lawan, kami perlu hadapi setiap hari seperti itu."
Senada, Kapten Manchester United, Bruno Fernandes menambah:"Jelas sekali, kami dikritik, dan secara adil, kerana kedudukan dalam jadual menunjukkan segala-galanya.
"Kami telah kehilangan terlalu banyak mata. Malah hari ini, kami tidak boleh gembira dengan keputusan seri, kerana kami memerlukan mata lebih daripada yang mereka perlukan.
"Ia adalah keputusan yang sangat baik dan keputusan yang adil, kedua-dua pasukan bermain bola sepak yang baik dan sengit.
"Saya agak kecewa kerana kami boleh menunjukkan karakter ini menentang Liverpool di Anfield, pasukan yang cemerlang dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, mengapa kami tidak boleh melakukannya setiap minggu?."