KUANTAN - Remaja lelaki yang hilang dihanyutkan arus selepas terjatuh dari rumah rakit ke dalam Sungai Pahang di Jalan Kampung Pedah, Kampung Jerantut Feri, Jerantut Sabtu lalu ditemui lemas pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mayat Azri Fahmi Bahiudin Zaiful Afindi,14, ditemui kira-kira jam 7.45 pagi.
Menurutnya, mayat mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temin itu dijumpai terapung oleh pasukan pencarian di lokasi 900 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.
"Komander operasi melaporkan semasa membuat rondaan pagi pada hari ketiga pencarian dengan bot bersama dua anggota, mangsa telah dijumpai terapung di lokasi penemuan
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Mohd Salahuddin berkata, semua masyarakat diingatkan agar mengelakkan daripada melakukan aktiviti air yang boleh mengundang bahaya.
"Kita masih lagi di dalam tempoh Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir Mac depan justeru sekiranya melakukan aktiviti di air, pastikan utamakan keselamatan termasuk memakai jaket keselamatan dan tidak bersendirian bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak dingini," katanya.
Azri Fahmi dikhuatiri lemas selepas tergelincir jatuh ke Sungai Pahang dipercayai ketika sedang memancing bersama dua rakannya.
Khidmat dua anjing pengesan,Grouse dan Lady digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja itu pada hari kedua pencarian Ahad lalu.
Operasi hari kedua turut disertai anggota penyelamat dari pelbagai agensi termasuk 20 anggota bomba serta enam anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin, Temerloh selain dibantu penduduk kampung.