"SEKIRANYA terdapat pihak di FAM melihat keperluan untuk kami bekas pemain berada dalam barisan kepimpinan bagi menjayakan revolusi bolasepak negara, saya sedia berkhidmat demi negara.”
Itu reaksi legenda bola sepak Kuala Lumpur, Datuk Ramlan Askolani mengenai desas-desus pemenang hatrik Piala Malaysia edisi 1987, 1988 dan 1989 bersama Kuala Lumpur akan bertanding Kongres Pemilihan FAM penggal 2025-2029,
Iklan
Iklan
"Sejujurnya, saya percaya setiap bekas pemain selepas berbakti di padang sepanjang kariernya tentu berniat untuk menyumbang idea dan pengalaman untuk memajukan sukan yang dekat dengan hati rakyat ini.
"Selain itu, saya sebagai bekas pemain juga akan berkhidmat dengan FAM biarpun sesiapa sahaja dipilih menerajui kepimpinan selepas ini,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM).
Seangkatan dengan Malek Awab, Mat Zan Mat Aris, Datuk Subadron Aziz dan Fandi Ahmad, Ramlan yang juga kini Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Harimau Malaya.
Selain pengalaman sebagai pemain, Ramlan juga pernah diberikan tanggungjawab sebagai Setiausaha Agung KLFA dan pengurus pasukan Kuala Lumpur dengan terkini dipertanggungjawabkan sebagai pengurus skuad Bawah 23 Kuala Lumpur City yang bersaing di Piala MFL.
Sebagai rekod, Ramlan merupakan antara nama yang disebut akan memeriahkan pemilihan FAM selain legenda bola sepak negara Datuk Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin Hassan.