TANAH RATA - Ekoran penambahbaikan sistem komunikasi antara saluran dan pusat penjumlahan undi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka keputusan PRK Parlimen Cameron Highlands dapat diumumkan sebelum jam 10 malam 26 Januari ini.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, sistem komunikasi terus antara lain dengan menggunakan aplikasi WhatsApp terbukti mempercepat serta melancarkan sistem pengurusan penjumlahan undi di tiga PRK sebelum ini iaitu PRK Dun Balakong, Seri Setia dan Parlimen Port Dickson.
"Apabila borang 14 diisi dan ditandatangani Ketua Tempat Mengundi ia akan dikomunikasikan terus ke pusat penjumlahan undi dan pusat penjumlahan undi akan menghitung jumlah-jumlah ini tanpa menunggu ‘hard copy’ sampai.
"Bila ‘hard copy’ sampai hanya kita sahkan dan kita boleh terus isytiharkan. Tambahan di sini kita akan siarkan di dalam portal SPR data terkini yang belum disahkan (jadi sistem ini akan membantu),” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu dalam sidang media sebaik proses penamaan calon selesai, beliau mengulangi jangkaan peratusan keluar mengundi SPR bagi PRK berkenaan sebanyak 70 peratus.
Manakala, bagi memantau tempoh kempen 14 hari PRK berkenaan, SPR menubuhkan empat pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954
Pada PRK kali ini, SPR juga menyediakan surat Aku Janji mengandungi 10 aku janji yang perlu ditandatangani setiap calon supaya mereka mematuhi segala peraturan ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
PRK berkenaan yang diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN dalam PRU14 bagi parlimen itu, terbatal dan tidak sah.
PRK itu akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Timbalan Pengerusi DAP Pahang M Manogaran, 60, mewakili PH; bekas pegawai kanan polis, Mohd Ramli Nor, 61, (BN) dan bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, serta Sallehudin Ab Talib, 61 dan petani Wong Seng Yee, 40 masing-masing sebagai calon bebas.
Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pertandingan lima penjuru dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud daripada PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim daripada Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (680 undi). - Bernama