Sasar 30 peratus wanita sertai Kementerian Luar Negeri

Iklan
Saifuddin tengah ketika merasmikan program Jom Ke Sekolah semalam.

KUANTAN - Kementerian Luar Negeri optimis memastikan sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam pentadbirannya berjaya dicapai selewat-lewatnya tahun ini.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, bagi jawatan Jusa C kementeriannya berjaya menempatkan 35 peratus kakitangan wanita dan beliau yakin peratusan sama dapat diperuntukkan bagi A dan B.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesaksamaan gender dan pendekatan feminis dalam pentadbiran amat penting kerana wanita lebih sistematik dan sangat membantu.

Beliau berkata, tambahan elemen kewanitaan itu lazimnya akan memberi kesan. Dalam dunia antarabangsa, di kawasan-kawasan konflik banyak usaha perundingan menggunakan perkhidmatan perunding wanita. Suatu ketika dahulu semua perunding adalah lelaki namun sekarang ramai wanita.

Iklan

"Pasukan tentera keamanan wanita juga sudah dilibatkan pegawai dan anggota wanita. Bahkan di Malaysia ketua hakim negara seorang wanita. Di dalam PDRM, ketua pasukan polis antikeganasan juga wanita.

"Wanita mampu mainkan peranan itu. Ini bukan soal kuota atau mengganti atau pesaing lelaki. Perkara ni agak abstrak tapi kita sudah melihat dalam keadaan tertentu penglibatan atau memasukkan elemen feminis dalam menangani disiplin lebih sistematik.

Iklan

"Secara psikologi dalam urusan rumah tangga pun ibu mempunyai peranan yang unik yang ayah tak terbuat dalam membangunkan sahsiah anak-anak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Program Jom Ke Sekolah Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajjah Kalsom di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin, Guru Besar sekolah, Mazalina Mohamad dan Yang Dipertua PIBG, Mohd Zulkefli Ismail.

Pada program itu, Saifuddin turut berpesan agar guru wanita meningkatkan peranan mereka dalam membantu mendidik disiplin dan membentuk sahsiah pelajar menerusi sentuhan feminis.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, kementeriannya akan menganjurkan program berkaitan Gender Equality atau Persamaan Jantina sempena konferens wanita, Beijing Plus 25 di New York pada September nanti.

Katanya, delegasi Malaysia dalam konferens itu akan diketuai isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.