PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan terdapat cubaan daripada pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melepaskan kontena mengandungi sampah elektronik atau e-waste di Pelabuhan Klang.
EAIC dalam kenyataan berkata, pada Mei lalu, pihaknya telah menerima maklumat terdapat kemungkinan salah laku yang dilakukan oleh pegawai JAS.
Katanya, ini kerana pegawai berkenaan memberi kebenaran untuk melepaskan kontena terbabit dipercayai mengandungi e-waste yang pada ketika itu berada di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.
"Sehubungan dengan itu, EAIC telah menubuhkan satu pasukan petugas selaras dengan Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] untuk menyiasat dakwaan salah laku pelepasan kontena-kontena tersebut.
"EAIC telah menyelesaikan siasatan mengenai dakwaan salah laku berkenaan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tambah EAIC, pihaknya mendapati kontena dipercayai mengandungi e-waste tersebut masih berada di Pelabuhan Barat.
Katanya, hasil siasatan, EAIC mengesahkan terdapat cubaan daripada pegawai JAS untuk melepaskan kontena tersebut tanpa punca kuasa yang jelas dan justifikasi yang wajar.
"Pihak atasan JAS gagal mengambil tindakan berhubung isu kebocoran maklumat ini selain kelewatan penyelesaian kertas siasatan oleh JAS berkaitan kontena-kontena tersebut yang juga berpunca daripada kelemahan penyeliaan," ujarnya.
Jelas EAIC, kelewatan mengenai pengendalian kes berkenaan boleh menyebabkan kerugian kepada kerajaan selain pencemaran alam sekitar tidak dapat dibendung dan dilindungi dengan segera.
EAIC akan turut mengemukakan cadangan penambahbaikan Prosedur Tetap Operasi (PTO) JAS serta Arahan Tetap Operasi Penguatkuasaan (ATOP) JAS kepada Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Awam untuk tindakan selanjutnya.
"Kita juga memanjangkan dapatan siasatan dan pengesyoran bersama-sama dengan laporan EAIC kepada Ketua Setiausaha Negara," katanya.
Bermula Jun tahun lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan banyak premis e-waste di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri yang dipercayai beroperasi secara haram tanpa mendapat kelulusan JAS.
Ada di antaranya berselindung di sebalik operasi mengumpul besi lusuh, namun dalam masa sama mengaut keuntungan dengan mengekstrak, melerai dan melupus e-waste termasuk mempromosikannya di media sosial secara terbuka.
Susulan laporan itu, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali dalam sidang akhbar memberitahu seorang individu bergelar Datuk antara 55 individu yang ditahan dengan tindakan sitaan bernilai RM43.19 juta hasil serbuan ke atas sindiket memproses e-waste haram pada 5 Ogos di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan serta Johor.
Selain itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki juga menyifatkan sindiket memproses e-waste haram berisiko mengakibatkan kes jenayah, salah guna kuasa, rasuah serta kesihatan.