KUALA LANGAT - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menyerahkan bantuan bencana agromakanan kepada 208 anggota dan 16,772 ahli peladang di tiga negeri yang terjejas banjir baru-baru ini.
Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar berkata, sejumlah RM100,000 diperuntukkan bagi menyantuni golongan sasar di Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Menurutnya, bantuan yang diberikan diharap dapat memberi sedikit kelegaan dan suntikan semangat buat warga terkesan banjir untuk terus bangkit menghadapi cabaran hidup.
"Bantuan yang disalurkan merangkumi barangan keperluan sedia dimakan dalam bentuk bakul makanan termasuk tajaan daripada Nestle Products Sdn Bhd.
"Saya percaya beban dan kerugian ditanggung mangsa banjir lebih daripada jumlah sekampit beras melalui sumbangan kami.
"Tetapi, secara keseluruhannya kerajaan memberikan tumpuan penuh kepada mereka khususnya yang mengalami kerugian hasil tanaman padi. Insya-ALLAH pemberian sumbangan akan diselesaikan dalam tempoh tiga hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Agromakanan LPP di Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Pengarah LPP, Amir Matamin dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi LPP, Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim.
Mahfuz berpandangan, penyerahan bantuan itu sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam menunjukkan keprihatinan dan menyantuni kumpulan sasar.
Tambahnya, sumbangan tersebut juga bukti tindakan segera yang diambil bagi membantu anggota LPP dan ahli peladang berikutan kehilangan hasil pertanian.
"LPP juga telah menubuhkan Skuad Insan yang terdiri daripada anggota di peringkat negeri untuk menghulurkan bantuan secara langsung.
"Dengan adanya bantuan agromakanan ini diharap dapat meringankan beban ahli peladang.
"Selain itu, kami turut menyediakan pelbagai bentuk sokongan kepada mereka agar dapat meneruskan kehidupan dan kembali menyumbang kepada ekonomi negara dengan lebih mantap," ujarnya lagi.