Perbicaraan warga Israel ditangguh, pihak pembelaan mohon jurubahasa Hebrew

Iklan
Perbicaraan hari pertama kes melibatkan seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom, ditangguh pada Selasa susulan ketiadaan jurubahasa Hebrew. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perbicaraan hari pertama kes melibatkan seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom, ditangguh pada Selasa susulan ketiadaan jurubahasa Hebrew.

Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan perkara tersebut selepas peguam tertuduh, Datuk Naran Singh memohon untuk mendapatkan jurubahasa berkenaan bagi menterjemah keterangan saksi-saksi pendakwaan.

Iklan
Iklan

Permohonan itu walau bagaimanapun tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam dengan alasan ia adalah hak pihak pembelaan.

Norina turut menjelaskan, mahkamah tidak dapat mengesahkan tarikh kehadiran jurubahasa tersebut.

Iklan

"Oleh itu setakat hari ini, mahkamah akan menangguhkan perbicaraan pada esok (Selasa) tetapi bersiap sedia sekiranya tiada jurubahasa Hebrew tersedia.

"Jurubahasa mahkamah akan menterjemah kepada tertuduh dalam bahasa Inggeris menggunakan bahasa yang mudah.

Iklan

"Jika kamu (tertuduh) tidak faham, sila angkat tangan dan maklumkan kepada mahkamah," katanya.

Naran bagaimanapun tidak bersetuju sekiranya perbicaraan dijalankan tanpa jurubahasa Hebrew.

"Tetapi jika Yang Arif meneruskan perbicaraan tanpa jurubahasa Hebrew, kami tidak bersetuju," tegasnya.

Susulan itu Norina meminta pihak pembelaan membangkitkan isu berkaitan jurubahasa pada prosiding perbicaraan berikutnya.

Sebagai rekod pada 27 Mac 2024, lelaki warga Israel itu ditahan bersama enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger bersama 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Hasil siasatan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki tersebut memasuki negara ini pada 12 Mac dengan menggunakan pasport Perancis menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Terdahulu Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini dikawal ketat oleh pasukan keselamatan susulan kes perbicaraan berkenaan.

Hampir 200 anggota dari Unit Simpanan Persekutuan dan Pasukan Gerakan Am dilengkapi peralatan taktikal ditempatkan di kompleks mahkamah Jalan Duta untuk mengawal pintu masuk dan perkarangan utama bangunan itu.