Reman remaja perempuan tikam ibu saudara disambung 3 hari lagi

Iklan
Remaja perempuan 14 tahun (dua dari kanan) diiringi polis ketika dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam, pada Isnin.

BUKIT MERTAJAM - Perintah reman terhadap remaja perempuan yang didakwa menikam ibu saudaranya pada Jumaat lalu dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Perai Jaya, di sini disambung tiga hari lagi.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan bermula esok sehingga Khamis ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Iklan
Iklan

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah dengan diiringi anggota polis pada jam 8.20 pagi bagi mendapatkan sambung reman.

Pada Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan selepas menikam ibu saudaranya dengan sebilah pisau di Flat Jalan Perai Jaya di sini.

Iklan

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa yang berusia 35 tahun mengalami kecederaan di bahagian perut sebelah kiri dan kini dirawat di hospital.

"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pertengkaran mulut antara suspek dengan mangsa di ruang tamu rumah berkenaan susulan mangsa menghalang suspek mahu tinggal semula bersama ibu kandungnya.

Iklan

"Susulan itu suspek tiba-tiba bertindak menikam mangsa menggunakan pisau hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kiri perutnya,” katanya.

Selain itu, remaja tersebut juga didapati positif dadah jenis methamphetamin.