KUALA TERENGGANU - Seorang kerani berputih mata apabila wang simpanan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM30,000 lesap gara-gara terpedaya dengan tawaran hadiah tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, wanita berkenaan mendakwa ditipu selepas menyertai grup aplikasi Telegram yang menjanjikan tawaran hadiah jualan dalam talian.
Menurutnya, mangsa yang terpikat dengan hadiah lumayan itu telah membuat lima transaksi berjumlah RM30,000.
"Sebelum itu, mangsa berusia 26 tahun telah diberi beberapa tugasan iaitu membuat bayaran pendahuluan kepada beberapa peniaga sebelum boleh mendapat hadiah yang dijanjikan.
"Mangsa juga telah membuat tiga transaksi ke akaun bank berbeza manakala dua lagi ke akaun lain seperti diarahkan suspek," katanya di sini pada Isnin.
Azli berkata, mangsa bagaimanapun gagal menuntut hadiah tersebut kerana dikatakan masih terdapat beberapa tugasan belum diselesaikan.
"Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis jam 5 petang pada Ahad dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.