KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] MIC mendakwa menerima surat dari Istana Pahang sebagai bukti kewujudan Titah Adendum ketika himpunan solidariti bagi menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan selepas berakhirnya upacara sembahyang khas dihadiri lebih 3500 ahli MIC di Kuil Murugun di Batu Caves di sini.
"Kami berkumpul di Batu Caves untuk membuat doa (sembahyang khas) supaya keadilan dapat diberikan kepada Najib sekiranya Titah Adendum itu wujud.
"Ketika kita membuat sembahyang khas hari ini tiba-tiba kita menerima surat dari Istana Pahang menyatakan memang Titah Adendum itu wujud dan kami berterima kasih kepada Istana Pahang dan Tuanku Sultan Pahang," ujarnya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengetuai ribuan penyokong Najib terdiri daripada kalangan ahli MIC dari seluruh negara yang berhimpun sebagai tanda solidariti terhadap bekas Perdana Menteri itu berhubung prosiding di Mahkamah Rayuan berkait Titah Adendum.
Mengulas lanjut, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Tapah memberi peringatan kepada semua pihak terlibat agar bersikap lebih adil dalam kewujudan titah tersebut.
Bagaimanapun, tegasnya, pihak MIC akur dan perlu menyerahkan perkara itu kepada mahkamah dan kerajaan untuk membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.
"Yang penting kepada semua yang terlibat itu kena faham bahawa rakyat sedang memerhati apa yang sedang berlaku. Mereka tahu apa sedang berlaku.
"Mungkin kita ada kuasa, pentas ini kita punya maka kita boleh cakap apa yang kita hendak tetapi apabila sampai masa sejarah itu boleh berubah sekiranya kita membuat kesilapan," ujarnya.
M Saravanan menambah, beliau yakin dan percaya kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat keputusan terbaik untuk bekas Perdana Menteri itu.
Dalam perkembangan berkaitan, sepucuk surat yang mengesahkan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan supaya Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi penahanan di rumah turut tular di media sosial pada Isnin.
Surat daripada Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Januari lalu itu ditujukan kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar dan ditandatangani Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Berdasarkan kandungan surat itu, Al-Sultan Abdullah telah menitahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi penahanan dalam rumah (house arrest) melalui Titah Adendum bertarih 29 Januari 2024.
"Sehubungan dengan itu, melalui surat ini, saya bagi pihak Seri Paduka Baginda Sultan Pahang selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah dengan ini memperakukan bahawa Titah Adendum adalah wujud dan sahih,” demikian seperti dipetik dalam surat tersebut.
Difahamkan, surat itu turut didedahkan dan dibacakan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Rayuan pada Isnin dalam prosiding semakan kehakiman melibatkan Najib.
Mahkamah Rayuan pagi ini bersidang bagi mendengar rayuan Najib agar beliau dibenar mencabar kewujudan Titah Adendum yang membolehkannya menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan di rumah.
Bekas Perdana Menteri itu merayu untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman dalam usaha memaksa kerajaan dan enam yang lain mengesahkan kewujudan titah berkenaan yang didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.