Dua usahawan bertuah menang motosikal

Iklan
Muhammad Sanusi (dua dari kanan) menyampaikan replika kunci motosikal kepada pemenang utama Kempen PKNK Cashless di majlis penutup kempen berkenaan pada Ahad.

ALOR SETAR - Dua usahawan yang menyertai Kempen PKNK Cashless masing-masing memenangi sebuah Motosikal Honda Vario 160 bernilai RM10,750 yang merupakan hadiah utama kempen terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Datuk Wira Isahak Murat berkata, Kempen PKNK Cashless adalah inisiatif PKNK dan PayNet untuk menggalakkan kaedah pembayaran tanpa tunai di premis-premis niaga PKNK dan juga peniaga-peniaga kecil negeri Kedah.

Iklan
Iklan

Katanya, kempen terbabit bermula pada Oktober hingga 31 Disember lalu dan pemenang dipilih berdasarkan kekerapan transaksi tanpa tunai tertinggi yang direkodkan dalam tempoh kempen.

"Usahawan hanya perlu menyediakan Kod QR di premis niaga mereka dan peniaga dengan prestasi terbaik dipilih memenangi hadiah utama,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, PKNK dengan kerjasama pihak PayNet menyediakan sokongan penuh kepada peniaga untuk mendorong lebih ramai menggunakan transaksi digital.

Para pemenang bergambar kenangan bersama barisan tetamu kehormat.

"Kempen ini membantu PKS meningkatkan kesedaran kemudahan transaksi tanpa tunai, menarik lebih ramai pelanggan, dan mengurangkan risiko wang tunai,” jelasnya.

Iklan

Tambah Isahak, PayNet merupakan anak syarikat Bank Negara yang membangun sistem pendigitalan tanpa tunai iaitu DuitNow.

"Peniaga hanya menyedia Kod QR sahaja di perniagaan mereka seterusnya menyokong usaha Cashless. Mudah untuk peniaga-peniaga kecil seperti gerai,warung,bazar dan kedai kecil untuk menggalakkan Cashless tanpa perlu ada mesin-mesin kad,” katanya.

Jelasnya, kategori hadiah dibahagikan kepada dua iaitu kategori Usahawan PKNK dan Usahawan Negeri Kedah dengan setiap kategori mempunyai lima pemenang.

"150 usahawan lain pula menerima hadiah saguhati baucar barangan elektrik dan baucar percutian dua hari satu malam di The Jerai Hill Resort Gunung Jerai.

"Hadiah-hadiah ini disampaikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang turut hadir merasmikan penutup kempen terbabit,” katanya.