MOSCOW - Ribut salji yang bakal melanda Amerika Syarikat (AS) berpotensi menjadi yang paling dahsyat dalam sedekad, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik laporan CNN berdasarkan data Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan AS (NOAA).
Menurut stesen penyiar itu, fenomena cuaca ini dijangka memberi kesan terutamanya kepada negeri seperti Kansas, Missouri, Illinois, Indiana dan Kentucky.
Iklan
Iklan
Pada Ahad, pihak berkuasa di ibu negara - Washington DC mengisytiharkan darurat akibat ribut salji yang bakal melanda, dengan perintah darurat berkuat kuasa sehingga akhir 7 Januari.
Ribut yang hampir tiba itu menyebabkan rak-rak kedai runcit di kawasan pinggir Washington sebahagiannya kosong, menurut laporan wartawan RIA Novosti.
Terdahulu, CNN melaporkan ribut musim sejuk yang kuat mengancam kira-kira 62 juta penduduk di bahagian tengah dan timur AS, dengan membawa salji lebat, ais berbahaya selain hujan serta ribut petir yang teruk.
Keadaan cuaca ini dijangka memberi kesan kepada sekurang-kurangnya 12 negeri, dengan kemungkinan gangguan bekalan elektrik di kawasan yang luas. Ribut petir kuat juga mungkin berlaku di negeri yang lebih panas. - Bernama