Shahidan persoal tindakan UMNO batal himpunan solidariti Najib

Iklan
Shahidan

SHAH ALAM - Seorang bekas pemimpin kanan UMNO mempersoalkan tindakan parti yang membatalkan himpunan solidariti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya pada Isnin.

Ahli Parlimen Arau yang menyertai Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, ia kerana kehadiran peserta dalam himpunan tersebut adalah mengikut hak mereka sebagai rakyat seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan negara ini.

Iklan
Iklan

Ujar beliau, penyertaan mereka juga bertujuan untuk mengetahui keputusan Mahkamah Rayuan melibatkan Titah Adendum.

"Walaupun ada halangan sana sini, tetapi alasan ahli UMNO untuk tidak hadir kerana menjunjung perintah titah Yang di-Pertuan Agong, itu satu perkataan yang wajar dikaji semula.

Iklan

"Yang di-Pertuan Agong tidak suruh pun kita hentikan himpunan. Seri Paduka Baginda cuma beritahu prosedur perlembagaan.

"Orang yang tidak ikut keputusan Titah Adendum itu derhaka. Kita tidak derhaka, cuma junjung kasih titah Tuanku,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Istana Negara dalam satu kenyataan pada Sabtu, memaklumkan bahawa cadangan supaya mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman, hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Menurut Istana Negara, ini kerana kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Khairil Nizam

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin berkata, keadilan perlu diletakkan dan diberikan kepada mereka yang mendapat Titah Adendum tersebut.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, jika melihat contoh luar negara seperti Amerika Syarikat (AS), pemimpin tertinggi juga mempunyai kuasa pengampunan yang mutlak.

"Dalam negara kita, raja mempunyai kuasa mutlak dalam memberi pengampunan.

"Ia bukan soal apa isi kandungan Titah Adendum, sebaliknya adakah ia wujud atau tidak.

"Kalau ada sewajarnya sebagai sebuah negara mengamalkan demokrasi raja berperlembagaan, kita kena mengambil Titah Adendum itu sebagai bahan yang perlu dilaksanakan,” ujarnya.