IPOH - Mahkamah Tinggi Ipoh pada Isnin diberitahu bahawa Perodua Ativa yang dipandu seorang pegawai kanan polis berkemungkinan telah menggilis Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, dalam kes perlanggaran 15 Disember 2023 lalu.
Penganalisa Kemalangan Prinsipal dan Ketua Unit Pengoperasian dan Pengurusan Data di Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Ahmad Noor Syukri Zainal Abidin, 42, berkata, perkara itu berdasarkan kedudukan Muhammad Zaharif jatuh, berada di bahagian tengah hadapan kereta iaitu di laluan pergerakan kenderaan itu.
Menurutnya, motosikal ditunggangi mangsa pula yang berada dalam keadaan berbaring telah terbabas ke arah kanan iaitu ke arah seberang jalan.
"Perlanggaran pertama di antara Perodua Ativa dan motosikal berlaku di luar lingkungan penglihatan dashcam, namun rakaman tersebut menunjukkan pergerakan sesaran menegak oleh Perodua Ativa sejurus selepas perlanggaran pertama.
"Penyiasatan di kawasan kemalangan telah menemui kesan minyak di bahagian seberang dari titik perlanggaran yang mana ianya konsisten dengan lokasi kedudukan akhir motosikal seperti dalam rakaman video kamera papan pemuka.
"Siasatan juga tidak menemui sebarang kesan brek (skid mark) dari kedua-dua kenderaan yang membuktikan bahawa tiada tindakan membrek yang drastik (harsh braking) dilakukan oleh pemandu dan penunggang sejurus sebelum perlanggaran pertama berlaku," katanya.
Saksi pendakwaan ke-31 itu berkata demikian ketika membaca pernyataan bertulis di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet dalam prosiding perbicaraan hari ke-18 di sini.
Ahmad Noor Syukri juga memberitahu, daripada pengumpulan data dan analisa dijalankan Miros, perlanggaran pertama dalam bentuk rear end collision berlaku dalam keadaan Perodua Ativa sedang mengekori terlalu rapat motosikal tanpa jarak selamat.
Katanya, impak perlanggaran pertama berlaku apabila bahagian hadapan kanan Perodua Ativa mengenai bahagian belakang motosikal, menyebabkan motosikal jatuh dan terperosok sebelum terseret ke seberang kanan jalan.
"Kelajuan purata pada jarak lebih kurang 50 meter sebelum point of impact bagi Perodua Ativa adalah 89.76 kilometer sejam manakala motosikal adalah 94.92 kilometer sejam," katanya.
Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Ahmad Noor Syukri diminta menjelaskan keadaan yang membolehkan perlanggaran pertama antara Perodua Ativa dan motosikal berada dalam keadaan tegak berlaku.
Ahmad Noor Syukri memberitahu, analisa situasi yang tepat adalah Perodua Ativa terus bergerak dalam kelajuan yang konsisten manakala motosikal memperlahankan kenderaan ketika menghampiri point of impact.
Perkara itu diputuskan selepas beliau membaca laporan Event Data Recorder (EDR) yang disediakan Perodua di mahkamah.
Bagaimanapun, Peguam M Athimulan mengemukakan bantahan laporan yang dibuat pasukan penyiasat Miros itu di bawah Seksyen 399 Kanun Acara Jenayah dengan menyatakan bahawa keterangan saksi adalah berdasarkan pakar dan bukannya fakta.
Afzainizam kemudiannya menjelaskan bahawa laporan tersebut dikemukakan di bawah Seksyen 45 Akta Keterangan.
Hakim Bhupindar Singh membenarkan laporan itu ditanda sebagai ekshibit dan meminta kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan untuk mengemukakan hujahan masing-masing pada akhir kes pendakwaan.
Prosiding perbicaraan disambung pada Selasa.
Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri Abdul Razak, 46, didakwa membunuh Muhammad Zaharif di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.
Pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan minimum sebatan 12 kali, jika sabit kesalahan.