PUTRAJAYA - Pihak polis masih mengadakan kawalan ketat di sekitar Istana Kehakiman, di sini serta kawasan berhampiran.
Tinjauan Sinar Harian mendapati sebahagian besar penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak, masih menunggu bekas Perdana Menteri itu keluar dari bahagian belakang lobi Istana Kehakiman sehingga jam 1.45 petang untuk menyatakan sokongan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, tiada sebarang insiden kekecohan atau provokasi dikesan berlaku sepanjang proses rayuan Titah Adendum berlangsung.
"Setakat jam 1.45 petang tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan kita masih mengawasi seluruh kawasan Istana Kehakiman dan kawasan berhampiran.
"Kami berharap orang ramai yang hadir dapat memberikan kerjasama dengan menjaga tingkah laku dan tidak mencetuskan sebarang provokasi sehingga Najib dibawa keluar," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Aidi Sham berkata, berbanding pagi tadi, jumlah penyokong dilihat semakin berkurangan berbanding pagi tadi.
"Setakat ini, dianggarkan lebih 200 individu dilihat masih memenuhi laluan keluar bahagian belakang Istana Kehakiman berbanding pagi tadi yang mencecah hampir 900 penyokong.
Mengulas mengenai tindakan yang bakal diambil terhadap penganjur Himpunan Solidariti Najib, selepas pihak polis menyatakan bahawa perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran kerana permohonan yang tidak lengkap, Aidi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Kami akan memanggil individu-individu yang dilihat hadir ke perhimpunan ini untuk dirakam percakapan," katanya.