Pesara rugi RM134,000 diperdaya sindiket menyamar ejen insurans

Iklan
Seorang pesara rugi RM134,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menyamar sebagai ejen insurans yang mendakwa mangsa terlibat dalam tuntutan palsu insurans di sebuah hospital di Kuala Lumpur. Gambar hiasan

MUAR - Seorang pesara rugi RM134,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menyamar sebagai ejen insurans yang mendakwa mangsa terlibat dalam tuntutan palsu insurans di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, semuanya bermula apabila mangsa berusia 63 tahun itu menerima panggilan daripada individu tidak dikenali pada November lalu.

Iklan
Iklan

"Individu berkenaan mengaku seorang ejen insurans dan mendakwa mangsa terlibat dalam tiga tuntutan palsu di sebuah hospital di Kuala Lumpur, pada 4 November.

"Panggilan tersebut kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai pendakwaraya yang memaklumkan bahawa waran tangkap akan dikeluarkan terhadap warga emas terbabit," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Katanya, mangsa yang ketakutan telah memindahkan semua wang simpanannya ke dalam lima akaun bank diberikan suspek kononnya untuk tujuan bayaran ikat jamin dan audit oleh pihak Bank Negara.

"Transaksi tersebut dilakukan sebanyak 16 kali berjumlah RM134,800 dan sumber wang berkenaan adalah simpanan mangsa sendiri," ujarnya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Menurut Raiz Mukhliz, kes tersebut, disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati terutama dalam urusan melibatkan transaksi pembayaran.

Tambahnya, sentiasa mengikuti nasihat dalam media sosial seperti Facebook Instagram dan TikTok Jabatan Siasatan Jenayah Komersil bagi mendapatkan maklumat modus operandi scammer.