SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mempersoalkan pihak yang ‘menderhaka’ terhadap pelaksanaan Titah Adendum yang menyokong permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan.
Beliau turut menegaskan bahawa pemimpin yang tidak mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong tidak layak untuk terus memimpin negara.
"Rakyat menuntut supaya kuasa Yang di-Pertuan Agong dihormati, undang-undang dipatuhi, Perlembagaan Persekutuan dijunjung dan keadilan ditegakkan.
"Jika benar Titah Adendum wujud, mengapa ia tidak dilaksanakan? Siapa sebenarnya yang derhaka kepada titah Agong sebelum ini? Pemimpin yang derhaka kepada Tuanku tidak layak untuk terus memimpin negara!” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, kejayaan himpunan yang dihadiri sekitar 10,000 orang hari ini telah menimbulkan kebimbangan dalam pemimpin-pemimpin blok kerajaan susulan perbezaan pandangan yang wujud antara mereka.
"Mereka sedang tersepit, antara tuntutan undang-undang atau kehendak rakan muafakat politik mereka.
"Nampaknya, himpunan ini menyebabkan wujud perbezaan pandangan yang amat ketara sesama pemimpin blok kerajaan. Perpecahan dalam kalangan mereka dilihat semakin ketara,” ujarnya.
Pada 6 Januari, Najib telah menjalani prosiding pendengaran rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, berdasarkan dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum.
Pasukan pembelaan bagi pihak Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah, Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, namun telah disembunyikan daripada umum.
Kemenangan bagaimanapun berpihak pada Najib hari ini apabila Mahkamah Rayuan membenarkan rayuannya untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa menteri dalam negeri dan kerajaan untuk menguatkuasakan titah tambahan oleh YDPA yang lalu.
Dalam keputusan 2-1, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh hakim Azizah Nawawi memutuskan agar kes ini dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendengar merit semakan kehakiman.
Dalam pada itu, Afnan Hamimi memuji keharmonian yang ditunjukkan oleh Pas, UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta ahli-ahli politik lain yang hadir bersama dalam himpunan tersebut tanpa sebarang gangguan atau provokasi.
"Tiada kekacauan. Suasana aman, tenteram dan harmoni. Ini menunjukkan parti-parti politik teras Melayu Islam dapat duduk bersama dan bersepakat dalam isu pelaksanaan Titah Adendum Najib.
"Kesepakatan di dalam isu ini boleh membuka satu lembaran politik baru kepada negara. Inilah yang sangat dibimbangi pihak lawan terutamanya DAP!” katanya.
Afnan Hamimi turut mengakui bahawa pengaruh dan aura Najib masih utuh sehingga ahli dan pemimpin UMNO tetap memilih untuk hadir meskipun terdapat larangan rasmi daripada pimpinan parti mereka.
"Hal ini membuktikan bahawa pengaruh dan aura Najib masih kukuh, sehingga mereka dilihat tidak menghiraukan arahan parti.
"Mereka lebih mengutamakan rasa simpati terhadap Najib dan menuntut agar keadilan ditegakkan,” katanya.