[VIDEO] Kebakaran surau: Ruang solat imam, al-Quran tak dijamah api

Iklan

MELAKA - Jemaah Surau Al Amin, Taman Limbongan Permai di sini tidak menyangka al-Quran dan tafsir hadis yang sering digunakan jemaah tidak terbakar dalam kebakaran surau itu pada awal pagi Isnin.

Bahagian ruang solat (kiri) yang terbakar dan memusnahkan beberapa peralatan termasuk kerusi. Rak (kanan) yang menempatkan al -Quran dan tafsir hadis terselamat dan tidak terbakar dalam kejadian itu.

Pengerusi surau, Markairon Mohd Fathil, 37, berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira jam 4.30 pagi dan terus menghubungi talian kecemasan sebelum pasukan bomba tiba di kawasan itu lebih kurang 10 minit kemudian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setelah anggota bomba melakukan kerja-kerja memadam kebakaran kira-kira sejam kemudian, dia mendapati al-Quran yang terdapat di surau berusia 17 tahun itu tidak terbakar.

Markairon

"Ini kejadian pertama berlaku di surau yang boleh memuatkan sehingga 400 jemaah pada satu-satu masa.

Iklan

"Nasib baik ketika kejadian tiada jemaah, bahagian rak yang disusun hadis dan al Quran tidak dijamah api," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Tambahnya, penduduk juga bertungkus-lumus memadamkan kebakaran itu sementara menunggu pihak bomba dan insiden itu dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Iklan
Marhafiz menunjukkan rak yang menempatkan al -Quran dan tafsir hadis tidak dijilat api dalam kebakaran itu.

Penduduk, Marhafiz Mohd Fathil, 24, menganggap insiden al Quran tidak musnah dalam kejadian itu merupakan salah satu keajaiban.

Beliau berkata, segera ke surau selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu dan melihat api sudah marak di bahagian siling ruang utama solat menyebabkan hampir keseluruhan bumbung hangus.

Al -Quran yang digunakan imam ketika solat jemaah juga tidak terselamat dalam insiden kebakaran itu.

"Selepas operasi memadam kebakaran selesai, saya terkejut ruang solat imam yang menyimpan puluhan naskhah al-Quran dan tafsir hadir langsung tidak terbakar.

"Api begitu marak dan bahagian berdekatan hangus terbakar namun ruang menempatkan kitab itu terselamat dan tidak terbakar," katanya.

Seah Shoo Chin (tengah) ketika melihat ruang solat Surau Al Amin, Taman Limbongan Permai, di sini, terbakar pada awal pagi Isnin.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang yang juga Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah Shoo Chin yang turut padang melihat surau itu berkata, kos membaik pulih kerosakan dianggarkan tidak kurang RM200,000.

Alles berkata, akan membawa perkara itu ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada Rabu ini supaya kerja-kerja baik pulih dapat dilakukan segera sekali gus membolehkan bangunan itu diimarahkan semula.

"Saya telah meninjau surau ini bersama wakil Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan harap urusan ini dipercepatkan.

"Sementara itu jemaah surau ini boleh menggunakan surau dan masjid berhampiran untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan," katanya.