TAWAU - Salah faham dipercayai punca seorang lelaki warga emas maut ditetak di bahagian kepala dalam kejadian di rumah kebun di Jalan Sing Ho Merotai Besar, di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, berlaku pergaduhan antara mangsa warga tempatan berusia 66 tahun dan suspek lelaki yang tiada dokumen pengenalan diri berusia 33 tahun.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, laporan polis diterima pada jam 2.44 petang oleh seorang lelaki yang mengatakan berlaku pergaduhan menggunakan parang di sebuah rumah kebun di lokasi tersebut.
Katanya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Balai Polis Bombalai segera dikerah menuju ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, pihak polis memaklumkan penemuan mayat lelaki dan hasil siasatan lanjut terdapat kesan tetakan di bahagian kiri dan kanan kepala mangsa.
"Suspek turut berjaya ditahan di lokasi dan terdapat parang dirampas dipercayai senjata yang digunakan oleh suspek untuk mencederakan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, hasil pemeriksaan lanjut suspek merupakan seorang warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah berada di negara ini.
"Suspek bekerja sebagai buruh ladang di kebun Merotai Besar dan motif kejadian itu dipercayai salah faham antara kedua-duanya.
"Mayat mangsa kemudian di bawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah berada di Malaysia," katanya.