Penduduk resah tembok konkrit halang air sungai runtuh

Iklan
Amin Yaziz (kiri) menunjukkan runtuhan tembok konkrit yang runtuh hanya ditimbus dengan timbunan tanah oleh pihak berwajib.

KUALA SELANGOR - Penduduk di Taman Saujana Aman di sini, meluahkan kebimbangan mereka berikutan tembok konkrit yang dibina di tebing Sungai Selangor runtuh hingga mengundang risiko banjir besar di kawasan perumahan berkenaan.

Seorang penduduk, Shahrizan Husin, 43, berkata, tembok sepanjang satu kilometer itu dikesan mula mengalami rekahan, retak malah sebahagiannya pula runtuh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tembok dibina sejak dua tahun lalu itu bertujuan menghalang limpahan air dari Sungai Selangor memasuki kawasan perumahan penduduk terutama pada musim hujan.

"Malangnya, projek ini tidak diselenggara sepenuhnya hingga menyebabkannya mula merekah akibat pergerakan tanah dan hakisan sungai.

Iklan

"Tembok yang runtuh pula hanya dibaikpulih dengan menggunakan guni pasir dan timbunan tanah, namun kita bimbang tidak tahan lama dan mendap akibat tidak dikonkrit," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Shahrizan berkata, situasi itu menyebabkan penduduk bimbang apabila tiada tindakan susulan dilakukan pihak berwajib di kawasan terbabit.

Amin Yaziz menunjukkan runtuhan tebing konkrit yang runtuh diganti dengan guni pasir yang dibimbangi tidak mampu bertahan lama.

Iklan

"Jika tembok ini runtuh, kami bimbang rumah kami terjejas banjir besar sekali gus mengakibatkan kerugian harta benda.

"Jarak Sungai Selangor dengan tembok sedia ada hanyalah lima meter sahaja, manakala tembok ke rumah penduduk berhampiran tidak lebih 10 meter," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Taman Saujana Aman, Amin Yaziz Bani Yamin berkata, penduduk yang mendiami perumahan itu sejak 2018 sudah mengajukan perkara itu kepada pihak berwajib, namun sehingga kini masih belum diselesaikan.

Katanya, sebanyak 315 unit rumah di taman itu berisiko banjir sekiranya perkara itu masih tidak dipandang serius pihak berwajib.

"Saya difahamkan, sudah kerap kali taman perumahan ini banjir disebabkan air dari Sungai Selangor melimpah ke kawasan kediaman penduduk.

"Penduduk mendesak pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan segera termasuk membaik pulih tembok konkrit runtuh.

"Saya mencadangkan tembok konkrit baru dibina bagi menggantikan tembok lama yang tidak lagi kukuh dan menunggu masa runtuh sepenuhnya," katanya.

Selain itu, katanya, penduduk mencadangkan pihak berkuasa menutup lubang saliran air buang bagi mengelakkan air sungai melimpah masuk ke dalamnya yang menyebabkan banjir.

"Sistem pengaliran air tidak berfungsi dengan baik akan mengakibatkan limpahan air ke kawasan rendah dan masuk ke taman perumahan ini," ujarnya.