SUBANG JAYA - Polis telah merakam keterangan penganjur konsert Pinkfish berhubung kematian empat pengunjung konsert yang berlangsung di Bandar Sunway sempena sambutan ambang tahun baharu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, keterangan seorang individu yang juga penganjur itu direkodkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, pada Isnin.
"Setakat ini kita telah merakam keterangan 43 individu termasuk penganjur konsert berkenaan.
"Kita juga akan memanggil beberapa individu lagi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Wan Azlan berkata, polis masih menunggu laporan analisis toksikologi untuk mengesahkan perkara itu termasuk punca kejadian.
Media sebelum ini melaporkan empat individu tempatan berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua wanita meninggal dunia selepas menghadiri konsert itu.
Mereka adalah antara tujuh pengunjung yang dimasukkan ke hospital selepas mengalami beberapa simptom sama selepas menghadiri konsert.
Pemeriksaan ke atas semua individu berkenaan tidak menemui sebarang kecederaan luaran.
Siasatan awal polis ke atas empat pengunjung yang maut itu mendapati kesemua mereka dipercayai mengambil pil dadah jenis ekstasi.
Namun Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihaknya masih menunggu laporan analisis toksikologi untuk mengesahkan perkara itu termasuk punca kematian sebenar.