Belanjawan perkukuh syiar Islam di Selangor

Iklan
Infografik - INISIATIF AGAMA DI SELANGOR 2025 Sumber teks ucapan Belanjawan Negeri 2025

KERAJAAN Negeri terus berusaha memartabatkan Islam menerusi pelbagai inisiatif baharu bagi menjaga kepentingan agama dan umatnya di negeri ini.

Ttitah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada November lalu, Baginda mahu tindakan penguatkuasaan terus ditingkatkan bagi mengekang fahaman ekstrem dan penularan ideologi sesat yang mencemar nama baik Islam di negara ini, khususnya Selangor.

Iklan
Iklan

"Beta juga ingin mencadangkan agar diwujudkan panduan, silibus khas atau peraturan khusus mengenai pengamalan tasawuf dan tarekat di negeri Selangor. Beta yakin dengan kefahaman dan amalan yang benar, ia sudah pasti akan memberi impak positif kepada pembangunan sahsiah ummah di negara ini,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Seiring titah Tuanku, menerusi Belanjawan 2025, Dato’ Menteri Besar umumkan RM1 juta diperuntuk bagi Akademi Literasi al-Quran Selangor (ALAS) dan Akademi Turath Selangor bagi memperkasa pengurusan dan pengajian al-Quran serta kitab turath.

Iklan

Inisiatif itu bakal menyuburkan semula akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah selain mampu menggalakkan penyertaan penduduk luar bandar dalam program pengajian kitab suci.

"ALAS ditubuh sejak 2022 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi hab pengajian al-Quran negeri. Akademi ini memberdaya latihan al-Quran kepada imam, guru sekolah rendah agama (SRA), SRA Integrasi, Kelas Fardu Ain Integrasi (KAFA-i) dan pemegang tauliah mengajar kitab suci ini,” jelas Dato’ Seri Amirudin Shari.

Iklan

DANA BESAR

Selangor turut menyediakan dana besar bagi menaik taraf masjid, semata-mata mahu memberi keselesaan jemaah. Masuk tahun kedua pentadbiran, Amirudin pada 2019 mengambil langkah menaik taraf 10 masjid kariah menjadi masjid pengurusan.

Langkah itu meningkatkan kecekapan dalam pentadbiran dan pengurusan kewangan masjid, sekaligus memastikan pengimarahan yang lebih sistematik. Hasil usaha itu membolehkan wujudnya 65 masjid pengurusan di Selangor.

Masjid kariah, masjid kawasan perumahan setempat. Terdapat dua jenis masjid kariah iaitu masjid kariah biasa dan masjid kariah pengurusan. Kariah biasa ahli jawatankuasa pengurusannya dilantik berdasarkan keputusan mesyuarat agung. Pencalonan jawatankuasa oleh penduduk setempat.

Sementara masjid kariah pengurusan mempunyai ahli jawatankuasa pengurusan yang dilantik secara terus Jabatan Agama Islam Selangor dan diurus terus oleh jabatan tersebut.

Justeru, tahun depan Selangor bercadang menaik taraf 20 buah masjid kariah sebagai masjid pengurusan yang akan melibatkan implikasi kewangan tahunan berjumlah RM3 juta.

Transformasi itu menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dan agensi agama memperkasa institusi masjid sekali gus membawa kebaikan ummah dan masyarakat.

Belanjawan 2024, Selangor mengumumkan pembinaan kompleks Islam bernilai RM25 juta. Kewujudannya bagi memastikan keselesaan beribadat selain menyediakan pendidikan Islam lebih baik kepada penduduk setempat.

September lalu, majlis pecah tanah Kompleks Islam Wira Damai Batu Caves itu mula dilaksana. Projek di bawah Kerajaan Negeri menerusi Permodalan Negeri Selangor Berhad itu didirikan di tanah seluas 4.249 hektar dan dijangka siap awal tahun 2027.

Belanjawan 2025 pula Kerajaan Negeri berhasrat menubuhkan Pusat Perkembangan Agama Islam Negeri Selangor yang menelan belanja RM5 juta.

Kompleks itu dicadang menggunakan bekas bangunan Pejabat Agama Islam Daerah Klang. Bangunan tersebut akan dibaik pulih tanpa merubah struktur binaan yang ada bagi mengekalkan bangunan tersebut.

Dahulu ia pernah menjadi pejabat Sultan Selangor di Istana Kota Klang yang terletak di tengah-tengah Bandar Diraja Klang.