Tanaman sawit musnah: Lebih 500 ahli koperasi rayu SPRM siasat

Iklan
Sebahagian ahli koperasi dan peneroka yang hadir menunjukkan surat aduan sebelum diserahkan kepada SPRM.

IPOH - Lebih 500 ahli Koperasi Pembangunan Sungai Tumboh menyerahkan surat aduan berserta bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat isu tanaman sawit yang diusahakan dimusnahkan tanpa persetujuan.

Pengerusi Koperasi Pembangunan Sungai Tumboh, Zainuddin Norhan berkata, tanah seluas 1,040 hektar di Sungai Tumboh, Seri Iskandar itu telah diteroka sejak lebih 10 tahun lalu sebelum diusahakan bagi tanaman kelapa sawit untuk manfaat ahli-ahli koperasi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagaimanapun pada September tahun lalu, ahli-ahli koperasi terkejut apabila tanaman kelapa sawit yang diusahakan musnah apabila tanah tersebut dijual kepada sebuah syarikat swasta.

"Kami kecewa kerana tiada surat hitam putih yang dikeluarkan untuk kami keluar dari tanah ini walaupun ada beberapa perbincangan dibuat dengan pemilik tanah iaitu PKNPk (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak).

Iklan

Zainuddin berkata, disebabkan masalah yang dihadapi, pihak koperasi meminta bantuan daripada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bagi membawa isu berkenaan ke muka pengadilan.

Sementara itu, seorang ahli koperasi, Saniah Lat, 51, berkata, tindakan memusnahkan pokok kelapa sawit tanpa memberi peluang kepada peneroka mengambil hasil amat mengecewakan.

Iklan

Jelasnya, mereka berkorban begitu lama untuk mengusahakan tanah tersebut dan hasilnya berjaya menambah pendapatan kepada ahli yang kebanyakan golongan kurang berkemampuan.

Seorang lagi ahli koperasi, Salsiah Abd Hamid, 44, masa yang diberikan untuk mereka keluar daripada tanah tersebut terlalu singkat dan hanya diberikan secara lisan.

Katanya, seawal September 2024 ladang sawit tersebut telah mula dimusnahkan untuk dibangunkan bagi projek lain menyebabkan peneroka hilang pendapatan dalam sekelip mata.

"Bayangkan dalam sebulan itu kami boleh dapat dalam RM4,000... tiba-tiba pokok-pokok kelapa sawit ini dimusnahkan begitu sahaja. Mereka kata bulan 12 nak kosongkan tanah tapi bulan sembilan dah buat kerja-kerja itu.

"Ini tidak adil buat kami. Saya rayu sangat SPRM bantulah kami. Buatlah siasatan sewajarnya sebab kami sudah hilang pendapatan. Mereka yang usahakan tanah ini bukan semua orang senang," katanya.

Hishamuddin (tiga dari kiri) ketika ditemui pemberita di luar pintu masuk bangunan SPRM Perak di Ipoh pada Isnin.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa permohonan untuk mendapatkan tanah tersebut telah dilakukan sebanyak dua kali kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak namun salah satu daripadanya ditolak.

Katanya, difahamkan tanah tersebut kemudian menjadi milik PKNPk sebelum ia dijual kepada syarikat swasta yang selepas itu bertindak memusnahkan tanaman berkenaan.

Beliau berkata, pihak koperasi kemudiannya diberikan RM4 juta sebagai pampasan namun ahli-ahli koperasi mendakwa ia tidak pernah dipersetujui.

"Disebabkan itu, seramai 508 orang ahli koperasi menandatangani surat aduan serta mengemukakan bukti-bukti untuk diserahkan kepada SPRM bagi siasatan lanjut.

"Kita menggesa SPRM untuk membuka kertas siasatan dan menyiasatnya di bawah Akta SPRM supaya pihak-pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Terdahulu kira-kira 200 orang berkumpul di hadapan pintu masuk bangunan SPRM Perak bersama surat aduan masing-masing sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa berkenaan.

Pada Disember tahun lalu ketika menggulung perbahasan Belanjawan Negeri Perak 2025, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah memberikan penjelasan mengenai isu berkenaan setelah perkara tersebut dibangkitkan Ketua Pembangkang, Razman Zakaria.

Dalam jawapannya, Saarani memaklumkan bahawa tanah berkenaan merupakan milik PKNPk yang mana sebahagiannya dicadangkan untuk pembinaan lapangan terbang baharu sebelum dijual kepada syarikat pelabur pada tahun 2018.

Menurutnya, walaupun tanah tersebut sudah berpindah milik, kerajaan negeri tidak pernah bersikap lepas tangan tetapi meminta PKNPk mengambil inisiatif untuk bertindak sebagai pemudahcara antara koperasi dan pemilik tanah untuk berunding melalui beberapa sesi libat urus yang disertai pengerusi, setiausaha, bendahari, Ahli Lembaga Koperasi, sebahagian ketua blok dan wakil ahli yang terlibat.

"Hasil inisiatif kerajaan negeri itu, pada 2 Oktober 2024, pihak pemilik tanah dan koperasi telah mencapai persetujuan bersama untuk menandatangani perjanjian di mana pemilik tanah bersetuju

membuat bayaran saguhati kepada pihak koperasi.

"Dalam hal ini, kerajaan negeri sudah melakukan segala yang wajar untuk membantu menyelesaikan isu kebajikan koperasi berkenaan," katanya menerusi jawapan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu.

Saarani menambah, dalam satu mesyuarat lembaga pengarah PKNPk yang dipengerusinya pada 26 September lalu telah bersetuju untuk menawarkan tapak alternatif di Mukim Pasir Panjang Hulu di daerah Perak Tengah kepada koperasi.

Bagaimanapun katanya, sehingga tamat tempoh tawaran selama 14 hari, pihak koperasi tidak membuat maklum balas penerimaan.