SAN FRANCISCO - Nama sekutu rapat bakal Presiden ke-47 Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ini menjadi perhatian rangkaian media sejak akhir-akhir ini.
Bilionair, Elon Musk yang menduduki tangga teratas individu paling kaya di dunia pada 2024 berterusan mencipta kontroversi, beberapa minggu sebelum Trump kembali ke Rumah Putih.
Musk yang sepatutnya sibuk mengendalikan perniagaan meliputi pelbagai perniagaan secara tiba-tiba berminat dengan politik Britain dan cuba menggunakan kausa dan pengaruhnya untuk menyatakan pendapat yang tidak disenangi banyak pihak.
Beliau dikatakan sengaja mempolitikkan insiden pemerkosaan seorang gadis sebagai cubaan untuk menyerang Perdana Menteri Britain, Keir Starmer.
Pada Jumaat lalu, Musk dengan lantang menggesa pemerintah, Raja Charles III supaya membubarkan Parlimen kononnya selepas parti pemerintah yang dipimpin Parti Buruh menolak gesaan terhadap siasatan pengantunan kanak-kanak (child grooming).
Terbaharu, Musk berpendapat pemimpin sayap kanan Britain, Nigel Farage wajar berundur untuk memberi laluan kepada kepimpinan baharu.
Sehingga kini, tiada alasan munasabah mengapa Musk yang dilantik untuk mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan di bawah pentadbiran Trump 2.0 campur tangan dalam hal ehwal negara tersebut.
Ketika sambutan Hari Natal, beliau juga meraih perhatian setelah 'cari pasal' dengan politik Jerman apabila secara terbuka menyokong parti berhaluan kanan, Parti Alternatif untuk Jerman (AfD) menjelang pilihan raya pada bulan depan.
Tetapi, Canselor Olaf Scholz tetap positif dan enggan ambil peduli dengan kecaman dibuat Musk terhadapnya.
"Kita perlu kekal tenang kerana memang ada jutawan media yang tidak tahu-menahu tentang politik, namun lantang menyuarakan pendapat mereka,” katanya. - Agensi