Penubuhan Ombudsman Malaysia perlu disegerakan - Pemuda UMNO Pekan

Iklan
Mohd Fakhrul Akhmal

KUANTAN - Penubuhan Ombudsman Malaysia perlu disegerakan, kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed.

Menurutnya, ia adalah sebuah badan bebas yang bertanggungjawab dalam menguruskan aduan dan sebarang isu yang menimbulkan kegelisahan rakyat, akibat daripada kepincangan, kecuaian atau pun kekhilafan tatakelola dalam mana-mana jabatan awam.

Iklan
Iklan

Jelas Mohd Fakhrul Akhmal, respons dan siasatan awal daripada pihak Ombudsman Malaysia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan risiko isu-isu tertentu daripada berlarutan hingga terpaksa diselesaikan di kamar mahkamah.

"Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia perlu disegerakan pewartaan dan pelaksanaannya.

Iklan

"Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Menteri (di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), bertanggungjawab, tentunya amat kompeten dalam memastikan perkara ini dapat diharmonikan kewujudannya.

"Dengan penubuhan"Ombudsman” diharap tidak berulang lagi peristiwa kecelaruan status kewujudan Titah Adendum yang jelas merosakkan imej baik Sektor Awam Malaysia," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Iklan

Sebelum itu, Mohd Fakhrul Akhmal turut menzahirkan kesyukuran di atas keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memulakan proseding semakan kehakiman mengenai kesahihan kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong Ke-16 untuk bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi tahanan dalam rumah.

Menurutnya, keputusan ini secara langsung telah membuktikan keberadaan dan kesahihan Titah Adendum seperti mana yang telah dinyatakan dalam Affidavit Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan anak kelada Najib, Datuk Mohamad Nizar.

Beliau menambah, polemik Titah Adendum yang telah hampir setahun berlarutan ini pastinya membawa pelbagai justifikasi daripada rakyat yang mengikuti perkembangan.

"Kita tentunya tidak dapat menafikan kesan buruk persepsi negatif rakyat terhadap institusi kehakiman, sistem kerajaan, dan parti politik terlibat.

"Demi keharmonian sistem pemerintahan negara, perkara sebegini seharusnya dielakkan menjadi"precedent” di masa akan datang," jelasnya.

Terdahulu, melalui keputusan Mahkamah Rayuan, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Januari tahun lalu.

Titah Adendum itu dikatakan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Melalui penghakiman majoriti 2-1 yang dibacakan Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, menyatakan bahawa mahkamah tidak boleh mengabaikan fakta dan bukti yang dikemukakan oleh perayu (Najib) dalam kes berkenaan.