SHAH ALAM - Pas mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera melepaskan jawatan kerana didakwa telah hilang kewibawaan dan kredibiliti untuk terus mentadbir negara.
Ketua penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ini kerana keputusan Mahkamah Rayuan mengesahkan kewujudan Titah Adendum berhubung tahanan dalam rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan bahawa terdapat unsur penyembunyian maklumat penting oleh kerajaan sebelum permohonan beliau difailkan di mahkamah.
"Keputusan ini mengesahkan bahawa kerajaan telah menyembunyikan Titah Adendum tersebut sebelum Najib memfailkan permohonan di mahkamah.
"Tindakan ini merupakan satu kesalahan besar yang menafikan hak beliau mendapatkan keadilan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Isnin, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan prosiding kehakiman mengenai kesahihan kewujudan Titah Adendum Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa untuk beliau menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi tahanan dalam rumah.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum itu mendedahkan surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan wujudnya Titah Adendum membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Menurut beliau, surat bertarikh 4 Januari lalu itu, dihantar kepada anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar oleh Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Ahmad Fadhli turut mendakwa tindakan menafikan kewujudan Titah Adendum sebelum ini mencerminkan kerajaan tidak jujur dalam menangani isu keadilan dan hak individu.
"Ini bukan sahaja mencemarkan sistem kehakiman negara tetapi juga mencetuskan persoalan besar mengenai integriti kepimpinan negara.
"Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini juga membuktikan bahawa kerajaan telah memanipulasi fakta serta berusaha menutup kebenaran daripada rakyat.
"Perdana Menteri seharusnya bertanggungjawab sepenuhnya atas krisis keyakinan ini dan mengambil langkah terhormat dengan meletakkan jawatan segera,” ujarnya.