Empat cedera dalam kebakaran tiga kenderaan

Iklan
Sebuah lori tangki membawa minyak sawit terbakar dalam kemalangan di Jalan Besar Pasir Penambang di Kuala Selangor pada Isnin.

KUALA SELANGOR - Empat cedera, manakala tiga lagi terselamat dalam kebakaran tiga kenderaan di Jalan Besar Pasir Penambang di sini pada Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kebakaran membabitkan sebuah lori tangki membawa minyak sawit, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dan Proton Saga.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.19 petang.

"Kebakaran membabitkan sebuah lori tangki yang terbakar 80 peratus, manakala masing-masing Toyota Alphard dan Proton Saga pula 20 dan 90 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan sebuah lori tangki membawa minyak sawit.

Iklan

Ahmad Mukhlis berkata, pemeriksaan mendapati pemandu lori berusia 37 tahun mengalami cedera di bahagian kepala dan leher, manakala pemandu Proton Saga cedera di kepala serta tangan.

"Pemandu lori dan pemandu Proton Saga berusia 68 tahun telah dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk mendapatkan rawatan lanjut," ujar beliau.

Iklan

Beliau memberitahu, dua lagi mengalami cedera ringan iaitu pemandu dan penumpang Toyota Alphard masing-masing lelaki berusia 32 serta 70 tahun.

"Tiga lagi tidak cedera iaitu penumpang Toyota Alphard iaitu wanita berusia 35 tahun, kanak-kanak perempuan lima tahun serta kanak-kanak lelaki tiga tahun," kata beliau.

Beliau memberitahu, operasi kebakaran membabitkan seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor mula terkawal pada jam 2.31 petang.