KUALA LUMPUR - Telegram menjadi penyedia perkhidmatan media sosial ketiga yang mendapat lesen untuk beroperasi di Malaysia selepas Tencent (WeChat) dan ByteDance (TikTok).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah meluluskan permohonan lesen itu pada 2 Januari lalu dan Meta yang merupakan pengendali Facebook, Instagram, serra WhatsApp dijangka memperoleh lesen dalam terdekat.
"Jadi Telegram, TikTok dan WeChat sudah lulus dan Meta masih beberapa dokumen dalam proses untuk dihantar, dijangka dalam masa terdekat akan selesai," katanya dalam sidang medianya selepas ditemui dalam Majlis pertukaran dokumen perjanjian inisiatif Kampung Digital Melaka antara MCMC dan Kerajaan Negeri Melaka pada Isnin.
Beliau berkata, walaupun masih dalam urusan libat urus, Google diberi amaran tidak melanggar undang-undang dalam negara seperti membenarkan adanya video scam dan video judi dalam talian.
"Jadi tindakan masih boleh diambil," katanya.
Menurut Fahmi lagi, beliau menyerahkan kepada MCMC untuk berbincang dengan X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) berhubung jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang iaitu 8 juta pengguna.
Sebelum ini, usaha kerajaan menjadikan platform media sosial di Malaysia lebih selamat apabila Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) bagi penyedia platform media sosial secara rasmi berkuat kuasa pada tahun ini.
Langkah pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu dirangka bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet serta media sosial.
MCMC pada 27 Julai 2024, mengumumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen berkenaan.
Menurut MCMC, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil di bawah Akta 588.