[VIDEO] Pemuda Amanah Johor buat laporan polis terhadap Ahmad Fadhli

Iklan

KULAI - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Johor membuat laporan polis terhadap Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Saari berhubung kenyataan kontroversi yang dimuat naik di Facebooknya.

Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Johor, Abdul Razak Ismail berkata, kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas terbabit didakwa sebagai menghasut dan boleh menimbulkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Iklan
Iklan

Jelasnya, kenyataan Ahmad Fadli itu juga boleh menggugat keamaman dan kestabilan negara.

"Kenyataan beliau boleh menimbulkan salah faham dan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong dam kebencian terhadap Sultan Johor. Kita mahu polis lakukan satu siasatan apa tujuan sebenar kata begitu.

Iklan

"Nak sokong Datuk Seri Najib Tun Razak boleh, siapa-siapa boleh sokong tetapi jangan keluar kenyataan seperti itu," katanya.

Abd Razak (dua dari kanan) membuat laporan polis di IPD Kulai pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan terhadap Ahmad Fadhli di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di sini pada Isnin.

Iklan

Hadir sama Ketua Pemuda Amanah Johor, Taqiuddin Cheman dan barisan kepimpinan sayap berkenaan.

Sebelum ini dilaporkan, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada Isnin ini yang bertujuan menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti berkenaan akur kepada segala saranan titah Seri Paduka agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan dalam perkara dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Susulan itu, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas berkongsi satu hantaran berbentuk kiasan dikaitkan oleh pelbagai pihak dengan keputusan UMNO membatalkan himpunan solidariti tersebut.

Kiasan Ahmad Fadhli itu berbunyi 'disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban'.

Walaupun tidak menyatakan dengan jelas hantaran berkenaan ditujukan kepada siapa, beberapa ahli Parlimen kerajaan mendakwa Ahmad Fadhli seolah-olah menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, Pemuda Amanah Johor mendesak siasatan dilakukan terhadap Ahmad Fadhli mengikut undang-undang sedia ada bagi memastikan hukuman sewajarnya dikenakan.

Ujarnya sebanyak 16 kawasan Pemuda Amanah di Johor akan membuat laporan polis berhubung perkara itu pada hari ini.

Beliau memberitahu, tiga daripadanya sudah pun selesai membuat laporan polis di kawasan masing-masing pada petang Isnin.