Titah Adendum: Ku Li bangkit persoalan kedudukan UMNO dalam kerajaan

Iklan
Tengku Razaleigh

SHAH ALAM - Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah membangkitkan persoalan mengenai kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan susulan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kewujudan Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut bekas Ahli Parlimen Gua Musang yang mesra dengan panggilan Ku Li, reaksi dan tindakan lanjut daripada parti perlu dengan kewujudan bukti baharu tersebut.

Iklan
Iklan

Selain, beliau turut mempersoalkan mengenai ketiadaan maklumat di pihak kerajaan mengenai titah tersebut, kesan kenyataan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini serta kesan undang-undang selepas terdapat tambahan bukti yang disahkan Istana Pahang.

"Dengan menerima berita perihal keputusan mahkamah tentang Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, dan juga dengan tersebarnya surat dari pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang bertarikh 4 Januari 2025 menyatakan dengan terang bahawasanya Titah Adendum tentang penahanan rumah Najib wujud.

Iklan

"Beberapa persoalan sekarang timbul dan ianya amat merisaukan kita semua dengan apa yang terjadi sekarang.

"Sejak pagi lagi saya telah dihubungi ramai tentang isu-isu yang timbul bersabit dengan kedua-dua perkara ini iaitu tahanan rumah yang ternyata wujud dan juga keputusan mahkamah pada pagi ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Iklan

Najib pada Isnin berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan, 72 untuk mendapatkan kebenaran itu.

Keputusan majoriti dicapai oleh Azhahari dan Mohd Firuz sementara Azizah menentang keputusan terbabit.

Ketika membaca keputusan, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan.