SHAH ALAM - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyindir pihak tertentu yang sebelum ini menempelak dirinya apabila membangkitkan isu kewujudan Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menerusi hantaran video pendek yang dimuat naik di Facebook miliknya, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu dilihat sedang menikmati teh sebelum melontarkan komen berkenaan yang dipercayai merujuk kepada individu tertentu dalam kerajaan.
"Kan saya dah kata kalau ada katalah ada, kalau tiada maka katalah tiada. Berterus-terang soalan simple (mudah), jawapan mudah.
"Sekarang terbukti ada, wujud dan sahih. Macam mana? Siapa pula perlu dipersalahkan?
"Eh itulah dah cakap tapi tak mahu dengar. Kan dah kantoi. Malu apa, malu apa? soal bekas Menteri Pengangkutan itu.
Mahkamah Rayuan pada Isnin memberi kebenaran kepada Najib bagi memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan, 72 untuk mendapatkan kebenaran itu.
Sebelum ini, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim mendakwa tindakan Ka Siong mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kewujudan Titah Adendum membabitkan Najib sebagai tidak menghormati prosiding mahkamah.
Muhammad Kamil berkata, Istana Pahang memilih untuk menghormati sistem perundangan negara dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
Pada 10 Disember lalu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau tidak dapat menjawab soalan itu kerana peraturan Parlimen melarang perbincangan subjudis dan tiada perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Susulan itu, Ka Siong membidas alasan Anwar dan membantah membantah bahawa peraturan subjudis tidak lagi terpakai kerana penghakiman juri telah dimansuhkan daripada sistem perundangan Malaysia.
Menurutnya, keputusan mahkamah dibuat semata-mata oleh hakim profesional dan bukannya juri yang diambil daripada orang ramai.