SHAH ALAM - Setiap pegawai penguat kuasa digesa tidak memperjudikan kepentingan dan keselamatan pengguna jalan raya demi wang ringgit.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan nyawa orang ramai.
Menurutnya, akibat salah laku pegawai terbabit, ia bakal mengundang nahas lebih berbahaya seterusnya menggugat kesejahteraan rakyat.
Justeru katanya, setiap pegawai perlu meningkatkan nilai integriti dalam menjalankan tugas bagi melindungi kepentingan awam.
"Kita tidak boleh memandang ringan perkara sebegini kerana natijahnya melibatkan kepentingan awam dan nyawa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes rasuah berkaitan pemeriksaan kenderaan berat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) ditahan reman pada Sabtu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, lelaki berusia lingkungan 40 tahun itu ditahan hasil kolaborasi strategik antara suruhanjaya tersebut dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sementara itu, Hamdan Daniel berkata, kejadian yang berlaku itu bakal melunturkan kepercayaan rakyat terhadap sistem pemeriksaan Puspakom yang seharusnya menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
"Perkara ini perlu diberi perhatian serius dan tindakan lebih proaktif atau drastik oleh pihak kerajaan.
"Antara lainnya adalah menambah baik pentadbiran sedia ada dengan memastikan pegawai yang menjalankan tugas tidak terdedah pada rasuah,” ujarnya.