BERITA perpindahan bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi ke luar negara kembali hangat diperkatakan selepas dakwaan sebuah kelab gergasi Iran, Persepolis FC mahu mendapatkan khidmatnya.
Dakwaan itu bukan sahaja menarik perhatian peminat bola sepak negara tetapi juga peminat bola sepak Iran khususnya penyokong Persopolis.
Mereka 'menyerang' laman Instagram Arif Aiman dan meminta pemain berusia 22 tahun itu untuk menyertai pasukan mereka.
Pemerhati bola sepak negara, Azlan Johar menyifatkan situasi tersebut sebagai satu petanda positif buat karier Arif Aiman apatah lagi menjadi rebutan penyokong luar negara.
Malah, Azlan percaya sudah tiba masanya Arif Aiman perlu berani membuat keputusan untuk memilih mencari pengalaman baharu di luar negara.
"Ternyata Arif Aiman berada pada tahap berbeza apabila penyokong luar negara turut kagum dengan bakat dimilikinya. Ini sememangnya sesuatu yang bagus dan menarik terutama untuk mengembangkan kariernya.
"Tetapi, segala keputusan terletak di tangan Arif Aiman dan apabila tiba masa, dia kena berani buat keputusan. Dia perlu fikirkan saingan dan cabaran lebih sukar untuknya di tempat orang untuk menjadikan dia lebih bagus.
Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia tiga kali berturut-turut itu terus menyinar bersama Harimau Selatan musim ini dengan merekodkan 15 jaringan dan lapan bantuan gol setakat ini.
Dalam pada itu, Azlan yakin JDT juga akan memberikan peluang melepaskan Arif Aiman beraksi di luar negara untuk kebaikan pemain itu.
"Saya rasa JDT merupakan sebuah kelab yang berpandangan jauh, sudah tentu jika seseorang pemain mempunyai peluang ke pentas lebih besar, mereka tidak akan halang.
"Pengurusan JDT ini lebih tahu jika memberikan peluang beraksi di pentas lebih besar dan ia satu prestij kepada JDT kerana dapat menghasilkan pemain yang bagus,” katanya.