JOHOR BAHRU - Seramai 20 individu termasuk seorang wanita ditahan kerana tidak mematuhi peraturan lampu isyarat merah dalam operasi khas yang dilaksanakan polis Johor pada Jumaat hingga Ahad lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, hasil siasatan lima daripada 20 individu berusia 16 hingga 45 tahun itu turut didapati merupakan tangkapan bagi kes mabuk yang disiasat di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan (15) tangkapan kes samseng jalanan bagi siasatan di bawah Seksyen 42(1), APJ 1987.
"Dalam operasi berkenaan, sebanyak 467 saman telah dikeluarkan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 79 (2) APJ 1987.
"Ia termasuk penalti kerana mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas iaitu disabitkan dengan denda tidak kurang RM300 atau tidak melebihi RM2,000.
"Selain itu, sebanyak 48 kenderaan yang disiasat di bawah Seksyen 64 APJ 1987 disita dan sebanyak 1,271 saman PDRM (K) turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lain,” katanya.
Polis turut meminta kesemua pengguna jalan raya agar sentiasa fokus ketika memandu dan tidak melanggar lampu isyarat merah.