Potong lori punca nahas 3 kenderaan terbakar

Iklan
Sebuah lori tangki terbakar dalam kemalangan di Kilometer 49.5 Jalan Klang-Teluk Intan berdekatan Pasir Penambang pada Isnin.

KUALA SELANGOR - Punca tiga kenderaan terbakar dalam kemalangan yang menyebabkan empat tercedera disebabkan tindakan sebuah kenderaan cuba memotong lori tangki di Kilometer 49.5 Jalan Klang-Teluk Intan berdekatan Pasir Penambang di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 2.20 petang.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian kira-kira jam 2 petang berlaku semasa pemandu lori tangki dari arah Tanjong Karang menuju ke arah Klang.

"Sebaik lori tangki tiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan yang nombor pendaftaran kenderaan tidak pasti tiba-tiba datang dari lorong kanan cuba memotong dan memasuki laluan lori berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, pemandu lori tangki cuba mengelak, namun terbabas dan melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dan Proton Saga yang sedang berhenti di lampu isyarat laluan sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.

Iklan

Sehubungan itu, katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai kejadian itu tampil membantu siasatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, empat cedera, manakala tiga lagi terselamat dalam kebakaran tiga kenderaan di Jalan Besar Pasir Penambang di sini pada Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kebakaran membabitkan sebuah lori tangki yang terbakar 80 peratus, manakala masing-masing Toyota Alphard dan Proton Saga pula 20 dan 90 peratus.