BENTONG - Jasad dua lelaki berjaya dikeluarkan selepas lebih 12 jam terperangkap dan tersepit dalam sebuah lori membawa muatan besi yang terbabas ke dalam gaung di Kilometer (KM) 42.1 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan di sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, mangsa pertama dikenali sebagai Norazuat Mokhtar berjaya dikeluarkan pada jam 7.47 pagi pada Selasa manakala mangsa kedua, identitinya masih belum dikenal pasti dikeluarkan pada jam 9.30 pagi.
"Komander operasi melaporkan hasil dari kerja-kerja pencarian di lokasi, didapati terdapat dua lelaki dewasa tersepit di bahagian pemandu dan bahagian penumpang.
"Kita mendapatkan bantuan Unit K9 dan dua anjing pengesan, Grouse dan Lady bersama tiga anggota membuat pencarian di sekitar kawasan kejadian selain bantuan rakan-rakan strategik lain," katanya.
Ujarnya, mangsa berjaya ditemui dan kerja-kerja memotong besi menggunakan peralatan menyelamat serta gergaji bulat bagi membawa mangsa keluar untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
Jelasnya, operasi tamat pada jam 10.05 pagi selepas seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama dua jentera dikerahkan ke tempat kejadian apabila menerima panggilan kecemasan pada jam 8.16 malam.