Agong terima menghadap PM Singapura di Istana Negara

Iklan
Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Lawrence Wong di Istana Negara pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong di Istana Negara, di sini.

Turut hadir pada pertemuan yang berlangsung di Dewan Seri Mahkota kira-kira satu jam itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Iklan
Iklan

Wong yang dalam lawatan rasmi dua hari beliau bersempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 hari ini, tiba bersama delegasi di Istana Negara kira-kira jam 8.30 pagi.

Beliau ditemani isterinya, Loo Tze Lui bersama delegasi tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada jam 6.15 petang semalam.

Iklan

Ini merupakan lawatan kali kedua Wong ke Malaysia sejak menjawat jawatan itu pada 15 Mei 2024, dengan lawatan pertamanya pada 11 Jun tahun lepas.

Perdana Menteri Singapura itu hari ini akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya diikuti mesyuarat delegasi Pemukiman Pemimpin bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan kedua-dua pihak dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Singapura, serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), enam Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Surat Niat (LOI) mengenai pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.

JS-SEZ bertujuan membawa manfaat bersama kepada perniagaan dan orang ramai daripada kedua-dua pihak, termasuk meningkatkan aliran barangan dan orang ramai, menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan dan menyokong pembangunan bakat.

Sebagai jiran rapat dan anggota pengasas ASEAN, Malaysia dan Singapura menjalin hubungan erat dan meluas dalam pelbagai bidang.

Kedua-dua negara kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah AS$78.59 bilion (RM360.12 bilion) dari Januari hingga November 2024, meningkat sebanyak 6.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. - Bernama